MAHA 2022 berpotensi jana nilai jualan RM250 juta

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) dijangka dapat menghasilkan lebih RM250 juta potensi nilai jualan.

Selain itu, beberapa sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) juga akan berlaku sepanjang MAHA 2022 melibatkan nilai pelaburan lebih RM4 bilion.

- Advertisement -

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Ronald Kiandee, berkata penganjuran MAHA 2022 bertujuan untuk mempromosikan sektor agromakanan dan industri asas tani dengan mengetengahkan kepelbagaian produk, penggunaan teknologi terkini, kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif yang diambil oleh agensi kerajaan dan swasta dalam memajukan sektor pertanian negara.

Menurutnya, MAHA 2022 bakal berlangsung mulai Khamis ini hingga 14 Ogos akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 6 Ogos ini.

Katanya, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor dengan keluasan 125 hektar terus menjadi tapak MAHA 2022 dan dijangka mampu menampung kehadiran pengunjung sehingga 100,000 orang sehari.

“Pelaksanaan MAHA kali ini juga buat julung-julung kali akan dianjurkan secara hibrid, iaitu kombinasi fizikal dan maya.

“Tema MAHA 2022 adalah “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan” bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, menyatakan sejauh mana persiapan kementerian untuk menganjurkan MAHA 2022 dalam suasana pasca pandemik selepas empat tahun tidak diadakan serta apakah jangkaan manfaat yang bakal terhasil menerusi penganjuran program MAHA pada kali ini.

Dr Ronald berkata, pelbagai aktiviti promosi dan publisiti telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara untuk menguar-uarkan MAHA 2022 serta tarikan utama yang terdapat di 22 segmen yang ditawarkan dalam dewan dan juga kawasan laman, termasuk rumah-rumah negeri.

Katanya, sebanyak 1,500 booth pameran dan gerai jualan bakal dipenuhi dengan penglibatan pemain industri dan usahawan tempatan.

“MAHA 2022 juga menyediakan peluang kerjaya kepada golongan muda serta graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair. Lebih 100 syarikat akan turut serta dalam program ini yang menawarkan lebih 15,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor.

“Selain itu, lebih 250 pocket talk, sesi bersama, seminar, webinar, konvensyen serta khidmat nasihat terus kepada kumpulan sasar akan diadakan. Ini merupakan antara manfaat yang bakal terhasil menerusi penganjuran program MAHA pada kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/22

- Advertisement -