Jumlah pemilih layak mengundi kini 21 juta orang

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Jumlah pemilih terkini berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 16 Jun lalu, kini seramai 21,113,234 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021 menyebabkan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang.

Sehubungan itu, katanya SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) melaksanakan Program Pendidikan Pengundi sejak 2017.

“Program itu bertujuan supaya segenap lapisan masyarakat diberi kefahaman terhadap kepentingan demokrasi, aplikasi demokrasi melalui platform pilihan raya, proses pilihan raya di Malaysia, tanggungjawab sebagai seorang pengundi dan implikasi terhadap negara.

“Ini juga membolehkan SPR menjelaskan isu-isu dan cabaran yang sering dibangkitkan ketika pilihan raya diadakan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, pertambahan pengundi di kalangan generasi muda adalah wajar dan mustahak bagi kerajaan untuk memastikan mereka bersedia dari segi pengetahuan dan pemupukan nilai-nilai dalam membentuk negara bangsa, terutama hak mengundi sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, APR melalui kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan, persatuan dan badan bukan kerajaan telah mempergiatkan pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi, terutama kepada golongan anak muda.

“Ini membabitkan program di peringkat institusi pengajian tinggi, masyarakat dan komuniti, acara kementerian dan jabatan serta pentauliahan kepada golongan pendidik dan mahasiswa untuk memberikan pendidikan dan kefahaman mengenai proses pilihan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/22

- Advertisement -