Israel tangkap pemimpin kanan Jihad Islam, bunuh remaja Palestin

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

JERUSALEM: Tentera Zionis Israel telah menahan Bassam al-Saadi yang merupakan seorang anggota kanan pejuang Jihad Islam Palestin, dalam serbuan di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat yang dicerobohi.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata, ketika serbuan pada Isnin (1 Ogos) itu, zionis Israel turut menembak dan seorang pemuda Palestin berusia 17 tahun, Dhirar Riyad al-Kafrini, lapor Middle East Eye.

- Advertisement -

Remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital kerajaan Jenin dan sekurang-kurangnya seorang lagi rakyat Palestin telah cedera.

Serangan ke atas Jenin, pusat penentangan Palestin terhadap pendudukan Israel, juga telah membawa kepada penahanan menantu al-Saadi, Ashraf al-Jada. Isteri Saadi yang turut mengalami kecederaan semasa kejadian dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Media tempatan dan rakaman video menunjukkan kesan darah di lantai rumah mangsa selepas tentera Zionis  Israel berundur.

Menurut Agensi Berita & Maklumat Palestin (Wafa), tentera Zionis Israel, termasuk pasukan khas, menyerbu kem Jenin dan melepaskan peluru hidup dan bersalut getah serta gas pemedih mata terhadap rakyat Palestin. 

Sehubungan itu, sebilangan rakyat Palestin bersenjata dilaporkan telah bertindak balas dengan tembakan langsung dan pertempuran berlaku semasa serbuan itu.

Saadi ialah tokoh Jihad Islam paling kanan di Tebing Barat yang diduduki Israel, dan Jihad Islam telah menjadi kuasa utama di sebalik penentangan bersenjata yang semakin meningkat di Jenin dan Nablus.

Beliau dan keluarganya telah menjadi bahagian penting dalam gerakan penentangan Palestin di Jenin. Bapa saudara beliau, Farhan al-Saadi mengetuai pemberontakan terhadap pihak berkuasa British pada tahun 1936.

Sementara itu, laman web www.baynews9.com melaporkan tentera Zionis Israel telah melakukan operasi tetap ke Jenin dalam beberapa bulan kebelakangan ini 

“Tidak jelas sama ada pemimpin kanan Jihad Islam Palestin, Bassam al-Saadi ditangkap atau cedera, namun pertubuhan itu berkata ia akan ‘berjaga-jaga’ dan meningkatkan kesediaannya sebagai tindak balas (terhadap zionis Israel).

Jenin, yang merupakan penempatan kepada kem pelarian yang besar di Palestin sudah lama dilihat sebagai benteng pejuang Palestin.

Israel menawan Tebing Barat dalam perang Timur Tengah 1967 dan telah membina lebih daripada 130 penempatan haram di seluruh wilayah yang menempatkan hampir 500,000 pendatang haram Yahudi. 

Rakyat Palestin mahu Tebing Barat, penempatan kepada kira-kira tiga juta rakyat Palestin, untuk membentuk bahagian utama negara masa depan mereka. Rundingan damai terakhir yang serius telah gagal lebih sedekad lalu. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -