Gerak jentera anak muda tarik Undi18

Ameerah merupakan salah satu organisasi Muslimat Muda yang bakal menjadi generasi pelapis Dewan Muslimat PAS. Foto ihsan Facebook PAS Negeri Pahang
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUANTAN: Dewan Muslimat PAS Pahang yakin generasi pelapis mampu menggalas tugas sebaiknya, terutamanya dalam menarik pengundi anak muda untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Salamiah Mohd Noor berkata, pendekatan yang diambil untuk berdepan PRU ke-15 perlu berbeza dengan PRU sebelumnya.

Katanya, menjadi peranan ibu bapa dan guru untuk membentuk memberi kefahaman mengenai situasi politik negara dalam kalangan anak muda.

- Advertisement -

“Bagi ibu bapa, kita mengharapkan supaya anak-anak yang lahir daripada keluarga tokoh perjuangan ini, pastikan mereka undi PAS sebab di luar sana banyak tawaran.

“Kita yakin generasi ketiga ini, apabila diberi kepercayaan, mereka boleh mengurus, mengolah, membuat keptusan dan mengambil tindakan terbaik.

“Jentera anak muda sangat penting dalam situasi kita hendak berhadapan dengan pengundi 18 tahun,” katanya ketika ditemui Harakah semasa hadir pada Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20,000 pelacaran jentera PAS Pahang, di Pantai Sepat, pada Ahad.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Noor. (Foto SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

Menurut Salamiah, kemenangan PAS di Terengganu pada PRU lalu amat memberi kesan kepada PAS Pahang, terutamanya kawasan yang berdekatan negeri itu.

Beliau berharap, kesan kemenangan di Terengganu sentiasa memberikan motivasi kepada PAS Pahang untuk tidak berputus asa dan sentiasa bersemangat.

Katanya lagi, walaupun pada awalnya H20k dianjurkan untuk mengumpulkan jentera parti, namun PAS Pahang mengambil keputusan untuk membuat secara terbuka.

Keputusan itu kata Salamiah diharapkan dapat membuka ruang supaya masyarakat dapat melihat PAS sebuah parti yang terbuka untuk semua selain dapat memberikan motivasi kepada jentera parti.

Sepanjang jalan di Pantai Sepat, pada petang Ahad dipenuhi kenderaan dengan gerai jualan yang menawarkan pelbagai jenis juadah dan kudapan.

PAS Pahang mengambil peluang itu untuk mendekati masyarakat dengan anjuran pelbagai program kekeluargaan.

Antaranya, acara larian Green Run, bola sepak pantai, konvoi kebajikan, sambutan hari lahir peserta, gubahan buah, kupas buah paling pantas, anyam ketupat, dan mewarna dewasa.

Selain itu, teka rempah ratus, batu seremban, musang berjanggut, shooting netball, boling kelapa, replikasi gergasi dari barangan terpakai, dam gergasi, upih kepala dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -