CAAM tangani isu taraf keselamatan penerbangan

Penurunan taraf keselamatan CAAM jejas industri penerbangan Malaysia
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil tindakan pembetulan terhadap semua 33 dapatan audit Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) yang dibangkitkan oleh FAA.

Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, menurunkan taraf keselamatan CAAM dari Kategori 1 ke Kategori 2 pada November 2019.

- Advertisement -

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pada masa sama, CAAM mengambil tindakan memperkukuhkan aspek keselamatan termasuk elemen kritikal yang menjadi persoalan utama dalam audit IASA FAA.

“FAA telah mengadakan sesi pengauditan semula ke atas CAAM antara 6 hingga 10 Disember tahun lalu dan laporan bertulis hasil dapatan pengauditan semula itu dikemukakan kepada Malaysia pada 10 Mei tahun ini untuk tindakan pembetulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ka Siong, hasil audit berkenaan, CAAM mengambil tindakan untuk menutup 29 dapatan audit IASA yang dibangkitkan oleh FAA.

Kemudian katanya, FAA mengadakan perbincangan lanjut dengan CAAM berkaitan tindakan pembetulan CAAM ke atas dapatan tersebut pada 12 hingga 14 Julai lalu.

Hasil perbincangan itu, katanya FAA memaklumkan semua 26 daripada 29 hasil dapatan yang diperolehi dalam sesi pengauditan pada Disember tahun lalu berjaya ditutup.

“Semua 26 hasil dapatan yang berjaya ditutup tersebut adalah berhubung aspek teknikal CAAM. Namun, terdapat tiga dapatan yang masih tidak dapat ditutup.

“Daripada tiga dapatan itu, dua adalah berhubung aspek perundangan dan satu lagi mengenai aspek teknikal dan latihan yang melibatkan penyediaan silibus bagi Inspektor CAAM,” jelasnya.

Ka Siong berkata, tindakan pembetulan dikemukakan kepada FAA pada 25 Julai lalu, dan keputusan penarafan semula dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, beliau mengakui bahawa penurunan taraf keselamatan CAAM dari Kategori 1 kepada Kategori 2 oleh FDA memberi kesan kepada industri penerbangan negara.

Katanya, ini termasuk FAA tidak membenarkan sebarang permit baharu dari syarikat penerbangan Malaysia untuk menyediakan penerbangan ke AS kecuali penerbangan sedia ada.

Selain itu, FAA tidak membenarkan sebarang permit penerbangan baharu dari syarikat penerbangan Malaysia untuk mengadakan perkongsian perjanjian kod dengan syarikat penerbangan AS untuk menyediakan penerbangan ke AS kecuali penerbangan sedia ada.

Justeru itu, katanya sebagai perancangan jangka panjang, Kementerian Pengangkutan komited dari aspek pindaan perundangan untuk mengatasi masalah itu dan perkara ini dijangka dibawa ke Dewan Rakyat, awal tahun depan. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -