Bankrapkah jika rokok tidak dijual?

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, mempersoalkan pihak yang bimbang dengan nasib mereka yang terbabit atau berkaitan industri rokok.

Berbahas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, di Dewan Rakyat, hari ini, beliau bertanyakan pihak yang menzahirkan kebimbangan mengenai nasib peniaga runcit jika rokok dilarang penjualan kepada generasi yang lahir selepas 2007.

- Advertisement -

Menurutnya, mereka perlu bertanya sendiri kepada peniaga runcit mengenai kerugian yang ditanggung jika RUU itu diluluskan.

“Berapa besar keuntungan yang peniaga runcit dapat dari menjual rokok? Bankrapkah mereka kalau tidak dapat menjual rokok pada remaja?

“Kedai kopi mana yang terpaksa tutup kedai dan hotel mana yang hilang pelanggan kerana orang tidak boleh merokok atau mengamalkan ‘smoke-free’ hotel?” soalnya.

Menurut Abdul Latiff, jika RUU tersebut berjaya dilaksanakan, hanya industri rokok yang akan mengalami kerugian, bukan peniaga runcit, kedai kopi dan hotel.

Katanya lagi, masyarakat tidak perlu bimbang jika industri rokok muflis memandangkan di Malaysia hanya sekitar 1,000 pekerja yang mempunyai kaitan dengan industri itu, berbanding berjuta kanak-kanak dan remaja yang perlu dilindungi.

Sementara itu, beliau mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan RUU itu atas alasan menyekat kebebasan merokok.

“Adakah hak golongan yang tidak merokok tidak diambil kira? Ini juga adalah hak asasi yang perlu diperjuangkan demi kanak-kanak, wanita, malah ibu mengandung.

“Mereka yang terdedah secara pasif dan kajian menyatakan ia lebih bahaya berbanding mereka yang merokok,” katanya.

Jelas Abdul Latiff, walaupun pelbagai undang-undang menetapkan supaya tidak boleh merokok atau vape di kawasan tertentu, beliau melihat kebanyakan mereka tidak mengendahkannya.

Katanya, masyarakat perlu menghentikan generasi yang menjadi penyumbang asap berbahaya itu dan melindungi generasi akan datang.

“Mereka adalah generasi harapan kita. Anak-anak kita dan cucu-cucu yang bakal mewarisi negara tercinta ini. Inilah masa dan ketikanya.

“Adakah bapa yang merokok suka anaknya merokok? Saya pasti mana-mana bapa atau ibu yang waras tidak akan membenarkan anak-anaknya merokok,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -