Menjawab Tengku Zulpuri, kebebasan yang terbabas

- Advertisement -

SAYA membaca kenyataan YB Tengku Zulpuri dalam sebuah rencana yang diterbitkan di portal Malaysiakini baru-baru ini. Rencana tersebut memuatkan kritikan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung tegahan terhadap sambutan Oktoberfest. 


Tengku Zulpuri memberikan alasan bahawa umat Islam tidak harus ‘campur tangan’ dalam urusan agama lain dan perkara tersebut ‘bercanggah dengan kebebasan’ yang dijamin dalam perlembagaan. 

Pemahaman sedemikian sebenarnya menyeleweng dan cuba berselindung di sebalik nama kebebasan. Kelompok sebegini seringkali mengangkat tema ‘hak kebebasan’ sehingga tidak ada batasan dalam kehidupan. 

Tegahan terhadap sambutan Oktoberfest sememangnya sesuatu yang tidak sepatutnya dipertikai. Hal yang demikian kerana sambutan itu sendiri bukanlah daripada budaya ketimuran yang dipegang di negara ini. Ia jauh menyalahi budaya dan amalan agama. 

Kerajaan berhak menunjukkan jalan yang sebetulnya untuk diikuti oleh rakyat, bukan mengikut kehendak sesiapa yang akhirnya menatijahkan kerosakan dalam masyarakat. Bahana arak tidak hanya memangsakan masyarakat Islam, bahkan juga kepada masyarakat bukan-Islam. 

Seringkali aktiviti-aktiviti yang merosakkan keutuhan masyarakat pada hari ini seperti Oktoberfest dirujuk dengan naratif ‘hak kebebasan’.Malangnya, walaupun mudarat yang dibawa lebih besar, slogan hak kebebasan tersebut terus dipertahan. 

Apabila ada yang menjadi mangsa – mereka menyalahkan ‘agama’ kononnya tidak memberikan penyelesaian. 

Tiada siapapun boleh menafikan bagaimana kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk begitu membimbangkan ketika ini? 

Malah, tinjauan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini menunjukkan rakyat Malaysia turut mahukan KKM melakukan larangan terhadap arak, perjudian, kelab malam dan sebagainya. Ia tidak sewajarnya terhenti setakat larangan terhadap rokok dan vape semata-mata. 

Justeru mengapa perlu kita mengambil jalan mengundur ke belakang untuk mengangkat budaya pesta mabuk dalam negara – meskipun secara tertutup?

Sepatutnya kita juga sedar bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan turut memuatkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Maka, sewajarnya sensitiviti agama tidak dipertikai secara berlebihan apatah lagi daripada umat Islam itu sendiri. 

Kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama itu perlu dipertahankan, bukan sebaliknya ditentang dengan alasan yang tidak munasabah. Namun, racun pemikiran Sekular yang bersarang mendorong seseorang bertindak melawan arus agama.

Kebebasan tanpa pedoman agama jawabnya terbabaslah ia…

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -