Kit SERI bantu 130,000 remaja perempuan B40

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seramai 130,000 remaja perempuan di kawasan luar bandar dan bandar dalam kalangan B40 menerima manfaat Program Pemberian Kit Kebersihan Asas Wanita Kepada Remaja Perempuan atau Kit SERI.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata Kit SERI adalah hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Advertisement

Melalui Belanjawan 2022, katanya penerima bantuan termasuk Orang Asli menerusi 1,124 sekolah menengah terpilih dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan RM10 juta melibatkan dua agensi pelaksana, iaitu KPWKM sebanyak RM3 juta dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM7 juta.

“RM3 juta yang diperuntukkan kepada KPWKM melalui LPPKN meliputi perolehan untuk tuala wanita pakai buang dan tuala wanita guna semula serta program pendidikan SERI, iaitu aspek pengurusan haid yang betul dan kesihatan reproduktif kepada remaja.

“Bekalan bantuan tuala wanita pakai buang adalah untuk selama 12 bulan bagi setiap penerima secara berkala melalui Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi Fasa satu, Siti Zailah berkata, bekalan bantuan tuala wanita pakai buang telah selesai disalurkan kepada 130,000 remaja terpilih untuk bekalan empat bulan pada 30 Jun lalu.

Katanya, fasa bekalan kedua bagi tempoh lapan bulan berikut akan diedarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia (JPM) kepada penerima remaja perempuan yang sama.

Selain itu, katanya LPPKN mengambil inisiatif melaksanakan Program Pemberian Kit SERI Tuala Wanita Guna Semula bagi penggunaan jangka masa panjang kepada remaja di komuniti mulai Julai lalu.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan 3,000 orang remaja perempuan, termasuk di kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli di seluruh negara. Seramai 800 remaja Orang Asli menerima manfaat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/22