Keadaan tenat, ibu Ainul Mardhiah pohon doa semua

Gambar terbaharu Ainul Mardhiah. (FOTO: Instagram Nurul Erwani Zaidi)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Ibu kepada buah hati rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah memohon rakyat Malaysia agar mendoakan kesembuhan buat puteri sulungnya itu yang kini sedang bertarung nyawa akibat jangkitan kuman.

Menurut Wan Nurul Erwani Zaidi, keadaan anaknya itu agak kritikal dan tenat buat masa ini dan telah dikejarkan ke hospital.

- Advertisement -

Perkara itu dikongsikan oleh ibunya sendiri di laman Instagramnya hari ini.

Katanya, Ainul kini berada di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital dan doktor di sana memberitahu keadaan anaknya agak kritikal dan tenat.

“Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni. Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lebih kuat untuk lawan penyakit ni.

“Ainul mula dengan muntah-muntah dan cirit birit, dalam masa sehari. Hari kedua mama tengok Ainul dah tak bermaya sangat sebab nampak lain keadaan Ainul kali ini,” katanya.

Tambahnya, oleh kerana keadaan semakin teruk, dia mengambil keputusan untuk membawa Ainul ke bahagian kecemasan dan selepas doktor melakukan prosedur rawataan, mereka memberitahu rupanya Ainul sudah terlalu tenat kerana ‘infection’ (jangkitan) sudah merebak ke semua tempat.

Ibu Ainul turut memberikan nasihat kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan memandangkan terdapat pelbagai virus ada di luar sana.

“Masa ni nak naik ambulans ke unit emergency (kecemasan). Ingat ya semua. Sekarang ni virus dah dekat mana-mana. Walaupun Ainul duduk rumah, jaga kebersihan pun kalau nak jadi memang akan jadi. Virus ni jahat betul kacau anak mama sampai jadi macam ni, ” katanya lagi.

Terdahulu, Ainul Mardhiah yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumour’ seberat 200 gram di bahagian mulutnya selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di London, United Kingdom pada 2019 ketika berusia sembilan bulan.

Ketumbuhan pada mulutnya mula membesar sejak dilahirkan dan dibuang sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway. –HARAKAHDAILY 1/8/2022.

- Advertisement -