Ilmu astronomi asas ketauhidan kepada Allah

- Advertisement -

ILMU astronomi merupakan pengkajian sains angkasa lepas yang menggunakan sains sebagai mediumnya. Ia meliputi penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa, penyelidikan astrofizik dan aplikasi angkasa untuk kemanfaatan manusia bersama. 

Astronomi merupakan salah satu disiplin keilmuan Islam yang juga disebut sebagai ilmu falak atau ilmu hisab yang telah dikembangkan oleh ilmuwan Islam terdahulu. Perkembangan ilmu falak amat penting dalam mengamalkan perintah-perintah agama seperti ibadah puasa, solat dan haji.

Tanpa disedari, pada hari ini, seluruh dunia menggunakan hasil daripada penyelidikan astronomi dan penerokaan sains angkasa untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Dengan kemajuan dan perkembangan ini, selain daripada memperoleh manfaat dalam pembangunan komunikasi satelit, robotik, teknologi pemprosesan imej dan pelbagai teknologi terkini, bidang tersebut membantu meningkatkan keyakinan umat Islam dalam menjalani ibadah dengan sempurna. 

Contohnya, setiap Muslim dapat menentukan setiap waktu solat dan mengetahui matahari terbenam (ghurub) untuk berbuka puasa serta memastikan arah kiblat walaupun suatu permukaan bumi jauh dari Makkah. Dalam konteks yang lebih khusus, kepentingan ilmu astronomi adalah penyusunan takwim seperti penetapan awal Ramadhan dan hari raya serta hari-hari kebesaran dalam Islam seperti awal Muharam yang banyak memberi kemudahan kepada umat manusia.

Sudah pasti, ramai juga yang mendapat manfaat dalam bidang pertanian dan perikanan. Konsep pergerakan matahari dan bulan amat penting untuk penentuan musim penanaman dan penyemaian bahkan melalui pemahaman gerakan matahari, bulan dan planet lain juga membantu penentuan pasang surut air untuk pelayaran di samudera.

Allah berfirman dalam Surah Yunus (10): 5 yang bermaksud:

- Advertisement -

 “Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia-lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang Mahu Mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”

Ramai tokoh ilmuwan Islam dalam disiplin ilmu falak telah menjadi rujukan sehingga ke hari ini seperti al-Khawarizmi, Abu Ma’syar al-Falaki, Jabir Batani, Abu Rayhan al-Biruni dan al-Farghani. Kepentingan ilmu astronomi tidak dapat disangkal dalam memberikan dalil atau bukti jelas mengenai kekuasaan Allah kerana disiplin ilmu tersebut banyak menekankan konsep ketauhidan kepada Allah S.W.T.

NORKUMALA AWANG
Felow, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) – HARAKAHDAILY 1/8/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0mcWF2ZTbqULZ79YfdVu2m4DbCQWCPNcdPBQsDaH6W2DKfySUb1TEAhsrSXQ6kxs6l&id=100064392321114&sfnsn=mo&extid=a&mibextid=71jzmv

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -