Sembilan pesilat bawa cabaran di pentas akhir

MELAKA: Buruan tujuh emas keseluruhan kontinjen negara menghampiri ramalan apabila sembilan pesilat negara mengesahkan tiket ke pentas akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang bakal berlangsung malam ini.

Selain Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Mohd Al Jufferi Jamari, Muhammad Robial Sobri turut memastikan namanya tersenarai ke pentas akhir apabila menewaskan pesilat dari Amerika Syarikat Earl Hulburt dengan keputusan 47-14 dalam Kelas I Putera pada aksi separuh akhir malam tadi.

Advertisement

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu akan bertemu wakil Singapura Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin yang sebelum itu menafikan kemenangan Saranon Glompan dari Thailand dengan keputusan 34-30.

Empat lagi pesilat wanita Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir, Nor Farah Mazlan, Olivia Chong dan Siti Shazwana Ajak turut cemerlang dengan mara ke saingan akhir.

Beraksi dalam Kelas Terbuka 2 Puteri, Nor Izzatul Fazlia menempah tiket final dengan menewaskan pesilat Thailand, Swichada Pruphetkaew dengan keputusan 33-27.

Nor Farah yang beraksi dalam Kelas A Puteri pula menewaskan Dinda Nuraidha dari Indonesia dengan keputusan 73-55 manakala Oliva mengecewakan peserta Vietnam Nguyen Thi Tra My dalam Kelas Terbuka 1 dengan kemenangan 29-25.

Sementara Siti Shazwana pula menghampakan Dao Thi Hong Nhung dari Vietnam dengan kemenangan 59-19 dalam saingan Kelas D Puteri.

Turut mengiringi ke pentas akhir adalah Mohamad Khairi Adib Azhar yang menewaskan Nguyen The Vu dengan keputusan 37-14 dalam Kelas B Putera dan Aizad Akbar yang mengecewakan pesilat Vietnam Bui Van Thong 54-42 dalam Kelas A.

Pada aksi final Kategori Artistik yang berlangsung Jumaat lepas, Malaysia meraih tiga emas melalui Kelas Ganda Lelaki, Regu Lelaki dan Kategori Solo Kreatif Wanita.

Aksi final edisi kejuaraan ke-19 ini akan berlangsung di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), selepas mengharungi enam hari perlawanan yang bermula 26 Julai lepas, dengan penyertaan lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah. – BERNAMA