Rebat gangguan bekalan elektrik tertakluk kepada GSL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih menjalankan siasatan berhubung kejadian gangguan bekalan elektrik yang melibatkan beberapa kawasan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada 27 Julai lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan itu dijangka selesai dalam tempoh masa satu bulan daripada tarikh kejadian gangguan bekalan.

Menurutnya, selain memastikan punca dan kesan gangguan, siasatan tersebut turut meneliti dan menentukan sama ada kejadian tersebut mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (Guaranteed Service Level – GSL) TNB atau sebaliknya, dan seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau pun tidak.

- Advertisement -

Beliau berkata, GSL merupakan dokumen Standard Prestasi Perkhidmatan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam memastikan kualiti bekalan elektrik dan perkhidmatan yang diberikan oleh TNB dalam keadaan yang terbaik.

“Sekiranya pihak TNB gagal mematuhinya, penalti akan dikenakan dalam bentuk rebat kepada pengguna-pengguna yang terlibat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam kejadian Rabu minggu lalu, sekitar sejuta pengguna di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilaporkan terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik yang tercetus mulai jam 12:39 tengah hari.

Bagaimanapun, ujar beliau bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga 2 jam 21 minit, iaitu tidak melebihi GSL terkini yang telah diluluskan pada 22 September 2020.

Walau bagaimanapun, jelas beliau keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

Tambahnya, GSL diwujudkan bagi menjaga kepentingan pengguna dan meningkatkan prestasi perkhidmatan TNB.

“Standard Prestasi Perkhidmatan bekalan elektrik ini boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 31/7/2022

- Advertisement -