Presiden PAS perjelas kisah sebenar hubungan PN-MN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) yang menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu telah menunjukkan dasar ‘tikus membaiki labu’ dalam melangsungkan pemerintahannya.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sehubungan itu PAS telah menggerakkan langkah berunding dengan BERSATU yang berada dalam PH mengajak membuat satu perubahan.

Kerajaan gabungan PKR, DAP, BERSATU dan PAN yang membentuk PH ketika itu, menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, cuba merungkai asas-asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengimbas semula sejarah penting itu semasa berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang, malam tadi.

“(PH) Cabar Islam, cabar hak istimewa orang Melayu. Buat macam-macam nak rungkai. Asas yang penting dalam perlembagaan, nak dirungkainya. Berani cabar, hina Islam dan macam-macam.

“Akhirnya PAS berunding dengan pimpinan BERSATU dalam Pakatan Harapan mengajak buat satu perubahan melalui Parlimen, melalui demokrasi. (Tetapi) Jumlah Ahli Parlimen yang cukup.

“Oleh kerana PAS dengan BERSATU saja tak cukup, mesti ajak Umno, berunding dengan Umno, ajak Umno sama. Alhamdulillah, terdapat kalangan Umno yang menerima perubahan ini. Maka berlakulah kerusi yang cukup untuk ubah kerajaan.

“Dan terus-terang dalam perundingan ini PAS mencadangkan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) jadi Perdana Menteri kerana Tan Sri sudah berada dalam kerajaan. Dengan sebab itu kita cadangkan Tan Sri jadi Perdana Menteri.

“Umno kena ikut, alhamdulillah Umno ikut, Umno ikut Tan Sri jadi Perdana Menteri dan kita memerintah. Oleh kerana gabungan ini perlu ada nama. Kita namakan Perikatan Nasional,” perinci beliau detik penting tersebut.

Menurut beliau, Umno bagaimanapun enggan menyertai PN di mana hanya mahu bersama PAS sahaja sedangkan gabungan dua parti itu sahaja tidak cukup untuk memerintah kerajaan.

Bahkan PAS katanya, menerima penubuhan Muafakat Nasional (MN) dengan syarat ia menggabungkan tiga parti besar Melayu dan Bumiputera, iaitu bukan hanya PAS dengan Umno sahaja.

“Ini gabungan Muafakat Nasional, dalam masa yang sama diajak sama kaum-kaum lain parti bukan Islam dalam gabungan PN, dua gabungan. Ini cadangan kita. Bila kita tekan Umno, (mereka) terima BERSATU masuk MN.

“(Tetapi) Bila sampai masa nak lancar, dia tangguh-tangguh. Bukan kita
yang tangguh, Umno yang tangguh-tangguh. Pimpinan dia yang tangguh-tangguh, bukan semua pimpinan. Pimpinan yang paling tinggi tangguh-tangguh.

“Tak boleh nak buat. Dia buat masalah, Umno buat masalah. Dia nak buat jajaran baru, macam-macam, tapi tak dapat sokongan daripada semua ahli-ahli Umno,” cerita beliau.

Letak jawatan kerana tolak ansur

“Demi mempertahankan PN kita terpaksa mencadangkan Tan Sri Muhyiddin letak jawatan daripada Perdana Menteri dengan hormat, bukan nak rebut jawatan. Tan Sri letak jawatan.

“Bukan mudah nak letak jawatan Perdana Menteri ni. Letak jawatan oleh kerana tolak ansur, kita terima Perdana Menteri daripada Umno untuk memimpin negara. Maka pemerintahan boleh dilangsungkan.

“Padahal dalam masa PN itu banyak perkara yang boleh kita buat. Kalau dulu Umno ada masalah-masalah, terpaksa berhenti. PH (juga) tak boleh laksanakan tugas. Banyak manifesto dia, janji-janji tak boleh, janji yang mustahil, tak boleh buat.

“Semua rakyat tahu ini, janji bohong, tak boleh buat, menyebabkan rakyat serba salah, maka berlakulah perubahan kepada PN. Masa PN kita tak ada manifesto. Kita ada agenda menghadapi masalah wabak, menghadapi masalah ekonomi, menghadapi masalah, semua kita dapat hadapi dengan sebaik-baiknya.

“Walaupun dunia dilanda oleh krisis wabak, dilanda oleh krisis ekonomi. Dunia dilanda krisis ekonomi, bukan Malaysia saja. Oleh kerana Malaysia duduk dalam dunia, Malaysia kena samalah.

“Tapi dia pukul kita seolah-olah kita tak boleh nak selesai masalah ekonomi, padahal masalah dunia, Malaysia dalam dunia. Dalam dunia kita sama-samalah. Alhamdulillah kita dapat atasi masalah ekonomi dalam keadaan berhempas pulas.

“Ini dapat dilihat sendiri oleh rakyat. Ini rakyat kena tahu PN telah menunjukkan bukti dalam masa pemerintahan berjaya memimpin negara melaksanakan banyak perkara,” ujar beliau.

Katanya lagi, oleh kerana kerajaan tidak kuat dan pilihan raya juga dekat, beliau menyeru rakyat memberi mandat kepada PN untuk membina satu kerajaan yang kukuh dan kuat.

Jelas beliau, langkah melancarkan PN di seluruh negara adalah untuk memberi tawaran dan mengajak rakan-rakan daripada Umno serta parti-parti lain ikut sama dalam PN.

“Ini untuk sama-sama mengambil tanggungjawab untuk selamatkan negara, bukan nak rebut kuasa, (tapi) untuk selamatkan negara. Ini tanggungjawab kita semua,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 31/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -