PAS tetap berusaha pertahan penyatuan ummah

- Advertisement -

Oleh DRS ZAINUDDIN HAMAT

- Advertisement -

PASIR PUTEH: PAS tetap berusaha mengekalkan penyatuan ummah bagi memperkukuhkan Kerajaan Malaysia memandangkan parti itu sebahagian daripada kerajaan yang ada sekarang.

Timbalan Presiden PAS Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengamalkan pendekatan berkawan ketika waktu susah dan bersahabat semasa senang.

Oleh itu PAS tetap mempekukuhkan agenda penyatuan ummah dengan memperkasakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) PRU15 tidak lama lagi.

“Kita jangan bergantung harap kepada kelemahan lawan. Dengan KPI yang dicapai di peringkat kawasan dan Dun melayakkan PAS untuk masuk bertanding pada PRU yang diadakan.

“Ahli PAS wajib akur dengan strategi yang diputus oleh pimpinan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Pasir Puteh di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Pasir Puteh Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, pimpinan PAS kawasan dan ahli Parlimen Pasir Puteh Dato Dr Nik Zawawi Salleh.

Menurutnya pendukung PAS di setiap peringkat perlu bersiap siaga di posisi masing-masing memandangkan mereka merupakan mata rantai perjuangan terutamanya bagi menghadapi PRU tidak lama lagi.

“Ada orang tanya saya bila pilihanraya akan diadakan, jadi saya tanya balik, adakah anda bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Sebagai pendukung parti, tanggungjawab kita bukan sekadar kita mengikat diri dengan perjuangan. Tapi ahli parti perlu mengukuhkan kepatuhan kepada keputusan dan arahan parti,” katanya.

Kata beliau juga keberadaan kita (PAS) sebagai sebahagian daripada kerajaan membuktikan PAS memiliki keprofesionalan yang pelbagai.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, negara kita masih gagal dalam mempraktikan amalan Islam dalam konteks alam sekitar dan kebersihan.

Oleh itu beliau berharap setiap ahli PAS perlu menerajui praktik amalan kebersihan dengan mempraktik suruhan agama Islam. – HARAKAHDAILY 31/7/2022

- Advertisement -