Kelantan jadikan pendidikan agenda utama

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PUTRAJAYA: Kelantan memberi peruntukan kira-kira RM130 juta setiap tahun untuk memajukan bidang pendidikan selaras dengan kepentingan pendidikan sebagai agenda utama kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri menyedari hakikat bahawa kegagalan memberi keutamaan terhadap pendidikan dan ilmu akan menyebabkan usaha untuk merealisasikan Kelantan Membangun Bersama Islam sukar dicapai.

Advertisement

Katanya, Kelantan sudah lama, iaitu sejak 1965, ketika pemerintahan Tan Sri Mohd Asri Muda sebagai Menteri Besar, menjadikan pendidikan sebagai agenda utama.

Ketika itu, katanya kerajaan negeri menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) bagi menyalurkan kepada rakyat, ilmu berasaskan hidayat Allah SWT.

“Walaupun bukan tugas utama sebuah kerajaan negeri, namun kerajaan negeri memberi perhatian terhadap pendidikan supaya dapat melahirkan ulama yang menguasai dua perkara penting, akademik dan agama.

“Apabila kita memerintah semula Kelantan pada tahun 1990, agenda ilmu dan pendidikan kembali menjadi agenda utama. Kita mengembalikan semula peranan pendidikan yang telah diasaskan oleh pemimpin parti sebelum ini,” katanya di majlis penutup Himpunan Asatizah dan Du’at Perantau Kelantan di Lembah Klang (HIMAT) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Dato’ Mumtaz Md Nawi serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff. 

Menteri Besar berkata, kejayaan pembangunan pendidikan Kelantan dapat dilihat melalui penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang membolehkan anak Kelantan mendapat ilmu.

Menurutnya, kerajaan negeri bangga kerana ramai anak Kelantan merantau ke seluruh negara untuk menyebarkan ilmu, sama ada bertugas dengan mana-mana agensi atau jabatan kerajaan mahu pun menjadi daie secara bebas.

“Alhamdulillah hari ini, kita ada sedikit kuasa terutama apabila bersama Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, kita cuba sedaya upaya untuk menangani serta menyuburkan pembangunan ilmu di Kelantan.

“Secara ringkas, saya sangat terhutang budi kepada asatizah, pensyarah, agamawan yang bekerja keras untuk menyebarkan ilmu wahyu ke seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak mengenai dunia Teknologi Maklumat (IT) dan siber yang kini mula memberikan cabaran besar.

Katanya, dunia IT dan siber yang asalnya membawa manfaat kepada orang ramai, tetapi mula mempengaruhi cara berfikir dan budaya serta boleh memberi kesan buruk jika tidak ditangani dengan bijaksana. – HARAKAHDAILY 31/7/22