TNB tawar rebat pemilik akaun terjejas gangguan elektrik

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAI

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan rebat kepada satu juta pemilik akaun yang terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri Rabu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan mengakui kejadian selama dua jam 21 minit itu melibatkan pengguna domestik, industri dan komersial.

Beliau berkata, pihak yang terlibat dengan kejadian tersebut boleh mengemukakan tuntutan jumlah kerugian kepada TNB bagi mendapatkan potongan untuk bil bulan Ogos.

“Pengguna terkesan mereka boleh buat tuntutan kepada TNB, berapa lama alami blackout, dia akan calculate jumlah kerugian dan boleh translate dalam rebat.

“Jumlah terjejas satu juta akaun, di Malaysia ada sembilan juta akaun akaun domestik, satu juta terjejas yang itu ada akaun domestik, ada industri dan komersil yang berlaku beberapa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu diadakan di Hotel H Elite Bandar Baru Tunjung di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, TNB bertindak dengan cekap bagi memastikan kejadian itu tidak berlarutan dalam tempoh yang lama dan selesai alam tempoh dua jam 21 minit.

Menurutnya, gangguan membabitkan beberapa lokasi di Perak, Kedah, Pulau Pinang termasuk Kelantan berpunca kerosakan peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng Utara Johor.

Malah pihaknya juga terpaksa melakukan catuan di kawasan tertentu yang tidak kritikal serta memastikan hospital, lapangan terbang dan sebagainya dapat beroperasi dengan baik.

“Johor dia ada lebihan bekalan disalurkan untuk menampung bahagian utara dan tengah, Selangor, Wilayah Persekutuan dan beberapa tempat lagi bekalan ini tidak sampai, berlaku gangguan.

“Kawasan kritikal macam hospital, lapangan terbang, sidang parlimen tiada catuan, tempat lain kena catuan, gangguan pulih dua jam 21 minit, ini satu tindakan cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan gangguan di PMU Yong Peng Utara di membabitkan penggunaan sebanyak 2.2 gigawatt atau 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

Kejadian berlaku pada jam 12.39 tengah hari sebelum bekalan berjaya dipulihkan dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan, kecuali di Lembah Klang yang pulih sepenuhnya jam 3.02 petang. – HARAKAHDAILY 30/7/2022

- Advertisement -