Tindakan bersepadu atasi pencerobohan nelayan asing

Foto daripada Facebook Dr Azman Ibrahim.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil tindakan bersepadu bagi mengatasi masalah pencerobohan perairan Terengganu oleh nelayan asing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tindakan tersebut melibatkan semua agensi laut yang terlibat.

“Isu pencerobohan perairan Terengganu perlu diselesaikan, dan kita terus bertegas bahawa Kerajaan Persekutuan mesti menggerakkan langkah penyelesaian pencerobohan terutamanya kapal asing Vietnam.

Advertisement

“Bukan sekadar mengharapkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia sahaja, semua agensi penguatkuasa di laut perlu bergerak sebagai pasukan bagi membentuk ketumbukan yang padu bagi menjaga perairan kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama Nelayan dan Road To MAHA 2022 di Pelabuhan LKIM Chendering, Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan hampir RM20 juta bantuan bagi nelayan seluruh Terengganu yang disempurnakan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Bantuan tersebut merupakan Projek Khas Perumahan Nelayan Terengganu bagi tahun 2022 berjumlah RM14.2 juta, Elaun Sara Hidup Nelayan (RM4.2 juta) dan Dana Khas Persatuan Nelayan di Terengganu (RM1.6 juta).

Turut hadir Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari.

Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8 turut melengkapkan lawatan kerja ke negeri Terengganu pada sebelah pagi dengan acara dialog bersama wakil persatuan belia Terengganu. – TRDI.my