RUU Kawal Produk Tembakau tidak jejas ekonomi negara

PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) atau individu lahir 1 Jan 2007 dan seterusnya bebas merokok, tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan pihaknya, industri tembakau hanya memberi kesan sebanyak 0.18 peratus sahaja terhadap keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Advertisement

Katanya kehilangan produktiviti negara akibat rokok adalah lebih tinggi berbanding kesan kepada ekonomi, jika dilihat dari segi keilatan.

“Bermakna mereka yang terlibat dalam industri rokok adalah kecil. Jumlah pasaran rokok akan semakin mengecil secara berperingkat iaitu bermula yang lahir 2007, 2008, 2009 dan seterusnya…ia akan ambil masa lama sebelum pasaran itu sangat kecil (mungkin) ia akan ambil masa 20 hingga 30 tahun.

“Kalau sekarang sudah 18 tahun ke atas, boleh hisap rokok (sebelum rang undang-undang itu dikuatkuasakan). Ia tak akan sebabkan kesan secara terus kepada ekonomi kerana ia dikuatkuasakan secara berperingkat, setiap tahun bertambah (individu) tidak boleh merokok tetapi yang sedia merokok akan kekal beli produk rokok,” katanya dalam temu bual khas dengan media mengenai rang undang-undang itu di sini.

Rabu lepas, beliau membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang memperuntukkan larangan kepada individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi menerusi pertemuan sebelum ini untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas yang akan menyemak semula rang undang-undang itu.

“PSC itu minta supaya ada tempoh penilaian mandatori, …saya bagi jaminan kami buat jawatankuasa bebas yang akan semak undang-undang ini dan akan bentang laporan tentang keberkesanan undang-undang ini sebelum GEG dikuatkuasakan pada 2025.

“Saya beri jaminan jawatankuasa ini ditubuhkan dan dilaporkan kepada Parlimen dan bukannya KKM. Selain itu, 10 tahun selepas GEG dilaksanakan, jawatankuasa ini akan buat semakan sekali lagi kalau perlu dipinda akta dan sebagainya,” katanya.

Khairy dijadual membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin ini manakala sesi perbahasan serta penggulungan bagi rang undang-undang berkenaan pada hari berikutnya.

Menurut rang undang-undang itu, individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Mengenai kaedah penjualan semua jenis produk rokok, Khairy berkata KKM akan mengadakan libat urus dengan golongan peniaga runcit bagi membincangkan mekanisme terbaik mengenai perkara itu.

“Ada beberapa mekanisme dipertimbangkan KKM seperti kod QR, bacaan kad pengenalan untuk ada aplikasi membeli produk rokok…sesuatu yang mudah dan tidak menyusahkan penjual dan pembeli. Bagi kawasan yang tiada capaian internet, mungkin peniaga perlu tengok kad pengenalan pembeli,“ katanya.

Bagi penjualan produk rokok serta vape secara dalam talian pula, beliau berkata ia tidak dibenarkan sekiranya Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 berkuat kuasa namun pihaknya akan terus menjalankan pemantauan.

“Dengan adanya rang undang-undang ini memang tidak boleh jual secara dalam talian, vape ataupun rokok. Jadi dengan rang undang-undang ini memang lebih mudah untuk kita cepat ambil tindakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya kerana ia menjadi satu kesalahan…kita boleh sekat,” katanya. – BERNAMA