Skrin video gergasi hempap dua penari di pentas konsert

Detik ketika skrin video gergasi jatuh menghempap dua penari di pentas konsert kumpulan Mirror di Hong Kong pada malam 28 Julai 2022. (FOTO Bloomberg.com)
- Advertisement -

HONG KONG: Sekurang-kurangnya dua penari cedera selepas dihempap skrin video gergasi berukuran 16 x 10 kaki yang tiba-tiba terjatuh di atas pentas konsert kumpulan lelaki paling popular di Hong Kong, Mirror.

Rakaman insiden itu tular dalam media sosial menunjukkan sekumpulan penari berpakaian putih membuat persembahan di atas pentas di Hong Kong Coliseum pada malam Khamis (28 Julai), apabila skrin video gergasi terjatuh dan menghempap salah seorang penari berkenaan.

- Advertisement -

Skrin video gergasi itu kemudiannya terjatuh ke atas sekurang-kurangnya seorang lagi penari, sebelum kesemua yang ada di atas pentas bergegas untuk membantu kedua-dua penari tersebut.

Pengurus Mirror, Ahfa Wong kemudian naik ke pentas untuk memohon maaf dan meminta penonton konsert beredar, merujuk kepada klip video yang tersebar dalam media sosial berkenaan.

Dua penari itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sejurus selepas jam 10.30 malam waktu tempatan, polis memberitahu AFP.

Dalam kejadian itu, 12 anggota kumpulan Mirror yang sedang membuat persembahan di atas pentas konsert tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penari yang dihempap skrin video gergasi di pentas konsert kumpulan Mirror pada 28 Julai lalu, Mo Lee Kai-yin kini masih dirawat di hospital. (FOTO The Epoch Times)

Pada kira-kira 12 tengah malam, media tempatan melaporkan, Hospital Queen Elizabeth di bandar itu berkata seorang penari lelaki mengalami kecederaan yang serius pada bahagian leher, manakala seorang lagi berada dalam keadaan stabil selepas kecederaan di kepalanya.

Kira-kira 10,000 penonton konsert tersebut dilaporkan mengalami trauma kerana kejadian itu berlangsung di hadapan mereka secara tiba-tiba.

Tiga wanita yang menghadiri konsert tersebut berusia 16, 21 dan 40 tahun dirawat kerana mengalami trauma, manakala seorang daripadanya dihantar ke hospital.

Dua mangsa menerima rawatan perubatan selepas tercedera dihempap skrin video gergasi di pentas konsert kumpulan Mirror di Hong Kong pada malam 28 Julai 2022. (FOTO AP)

Menurut South China Morning Post, satu daripada dua tali logam yang menggantung skrin video gergasi itu terputus, menyebabkan ia terhempas ke atas pentas konsert tersebut.

Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong, Kevin Yeung dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, kerajaan Hong Kong telah membatalkan konsert berkenaan.

Pemimpin Hong Kong, John Lee ketika mengulas mengenai insiden itu, berkata beliau terkejut dan telah mengarahkan siasatan menyeluruh untuk menilai keperluan keselamatan persembahan konsert yang lain bagi memastikan aspek keselamatan terjamin.

Rakaman video menunjukkan detik ngeri ketika dua penari dihempap skrin video gergasi di pentas konsert kumpulan Mirror di Hong Kong pada 28 Julai 2022. (Sumber Hongkongfp.com)

Dalam pada itu, menurut laporan news.yahoo.com pada Sabtu (30 Julai), penari lelaki yang cedera parah di leher dikenali sebagai Mo Lee Kai-yin, 27, manakala seorang lagi yang tercedera ialah Chang Tsz-fung.

Mo terkehel pada bahagian ketiga dan keempat vertebra serviksnya, menyebabkan dia kini tidak boleh bergerak atau lumpuh.

Selepas prosedur rawatan semalaman dan pembedahan susulan selama lapan jam, doktor dapat menstabilkan penari berkenaan. Potensi lumpuh dari leher ke bahagian bawah badannya bergantung kepada proses pemulihannya dan sama ada sarafnya yang rosak boleh tumbuh semula.

Ahli keluarga Mo telah tiba dari Kanada, dan Biro Kesihatan Hong Kong telah mengatur agar mereka membuat lawatan ke hospital.

Sementara, Chang, 29, bagaimanapun telah dibenarkan keluar dari hospital pada petang Jumaat (29 Julai).

Konsert tersebut yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 25 Julai hingga 6 Ogos telah dibelenggu oleh pelbagai kesilapan teknikal sejak Isnin (25 Julai) lalu, menyebabkan peminat mempersoalkan aspek keselamatan pentas konsert tersebut. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -