RUU Antilompat Parti: Penjelasan Wan Junaidi

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Selepas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, membentangkan Bacaan Kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa, Rabu lalu, seramai 54 Ahli Parlimen menyertai sesi perbahasan RUU itu.

Ahli Parlimen dari pelbagai parti dan latar belakang, berbahas mengenai pelbagai isu berkaitan lompat parti, termasuk kronologi serta ada yang mengambil kesempatan menyalahkan Ahli Parlimen atau parti lain sebagai punca masalah menyebabkan kadang-kala sesi perbahasan bertukar panas.

Namun sebilangan Ahli Parlimen sepanjang perbahasan selama 10 jam hingga jam 4 petang semalam, memilih untuk memberi cadangan serta meminta penghuraian pelbagai isu berkaitan RUU yang amat penting dalam sejarah Parlimen Malaysia serta amalan berpolitik negara ini.

Advertisement

Oleh kerana RUU ini sesuatu yang baharu, pelbagai persoalan ditanya oleh Ahli Parlimen, sama ada yang berlatar belakang undang-undang, mahu pun bidang lain.

Banyak juga persoalan yang ditanya sama sahaja di kalangan Ahli Parlimen, cuma cara dan situasi yang berbeza.

Dalam sesi penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, petang semalam, beliau menghuraikan semua isu yang ditanya dalam tempoh kira-kira 40 minit.

Namun harus diakui bukan mudah untuk memahami penjelasan yang disampaikan dalam laras bahasa undang-undang dan Parlimen. Bagi membantu memudahkan pemahaman berhubung isu ini, HarakahDaily meringkaskan penggulungan itu dalam bentuk soalan dan jawapan di bawah yang berdasarkan teks penggulungan itu.

SOALAN (S): Apakah perlu penggubalan suatu undang undang khusus berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi mengatasi kekurangan yang wujud dalam RUU ini. (Soalan ditanya oleh Ahli Parlimen Kinabatangan dan Hulu Selangor)

JAWAPAN (J): Dalam hal ini dan sebagaimana dijelaskan Ahli Yang Berhormat Tuaran dan Pengerang yang merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, saya ingin menarik perhatian semua Ahli Yang Berhormat bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah mempertimbangkan dan bersetuju mengenai pemilihan pendekatan satu langkah (one-step approach) dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan akan memastikan peruntukan larangan bertukar parti ini tidak dapat diubah dengan sewenang-wenangnya melalui simple majority (majoriti mudah) kerana pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan undi dua pertiga pada Bacaan Kedua dan Ketiga di setiap Majlis Parlimen.

Pada peringkat ini, tiada keperluan untuk suatu RUU yang khusus berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti digubal.

S: Apakah justifikasi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda kerana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan adalah peruntukan bagi kebebasan berpersatuan.

J: Pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan diperlukan untuk memasukkan peruntukan untuk menjadikan perenggan (c) Fasal (1) Perkara 10 berhubung dengan Ahli Dewan Rakyat/Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Persekutuan dan mana-mana Negeri tertakluk masing-masing kepada Perkara baharu 49A dan seksyen baharu 7A Jadual Kelapan.

S: Apakah penggubalan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan turut mempertimbangkan pemakaian peruntukan ini terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). (Pengerang, Seremban, Pasir Gudang, Tuaran, Machang, Hulu Selangor, Rasah, Selangau, Tampin, Bagan).

J: Saya ingin merujuk kepada Fasal 1 dan Fasal 2 RUU ini yang telah memperuntukkan larangan bertukar parti ke atas ADUN melalui cadangan pindaan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan ini membolehkan semua Dewan Undangan Negeri meminda Perlembagaan Negeri masing-masing agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, pemakaian peruntukan larangan ADUN bertukar parti hanya akan dikuatkuasakan di sesuatu negeri pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Dalam hal ini, rujukan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengenai kuasa DUN Pulau Pinang untuk mewujudkan undang-undang larangan bertukar parti tidak akan menjejaskan RUU ini.

S: Adakah seorang Ahli Dewan Rakyat yang keluar parti politik dalam gabungan yang sama dianggap sebagai bertukar parti. (Shah Alam, Pasir Mas, Jempol dan Setiawangsa)

J: Jawatankuasa Pilihan Khas bersetuju dan mengesyorkan bahawa Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari suatu parti politik dalam suatu gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, maka Ahli Dewan Rakyat tersebut terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

Ini kerana keanggotaan seseorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik, tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.

Selain itu, keanggotaan seseorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada seseorang Ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party).

Dalam hal ini, Ahli Dewan Rakyat yang merupakan `direct member of the coalition party’ yang berdaftar di bawah undang-undang Persekutuan akan dianggap bertukar parti jika beliau keluar daripada gabungan tersebut.

S: Apakah kedudukan Ahli Dewan Rakyat jika parti-parti politik diwakili keluar dari gabungan dan menyertai gabungan lain. (Pontian, Kuala Krai, Batang Lupar, Setiu dan Lubok Antu)

J: Saya ingin menarik perhatian semua Ahli Yang Berhormat bahawa prinsip larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berpegang kepada keahlian Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik. Oleh itu, sebarang tindakan suatu parti politik, termasuk keluar dari suatu gabungan dan menyertai gabungan lain tidak dianggap sebagai tindakan bertukar parti.

Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang kekal dalam parti gabungan sedia ada juga tidak akan dianggap bertukar parti. Sebagai contoh, jika suatu parti keluar daripada gabungan dan menyertai gabungan yang lain, tetapi salah seorang anggota parti tersebut, iaitu Amira tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, apakah statusnya? Dalam situasi ini status Amira bergantung kepada kedudukan Amira dalam Parti .

Jika:
(a) Amira kekal sebagai anggota dalam parti, dia tidak dianggap sebagai bertukar parti;

(b) Tindakan Amira untuk tidak mengikut keputusan parti keluar daripada gabungan tersebut menyebabkan Amira dipecat daripada parti itu, maka Amira tidak dianggap sebagai bertukar parti;

(c) Tindakan Amira untuk tidak mengikut parti itu keluar daripada gabungan tersebut merupakan suatu tindakan di bawah perlembagaan parti yang akan menyebabkan keanggotaan Amira terhenti dengan sendirinya, maka Amira dianggap sebagai bertukar parti.

S: Bagaimana jika seorang Ahli Dewan Rakyat memberikan sokongan kepada parti politik selain dari parti politik yang diwakilinya. Adakah tindakan ini dianggap bertukar parti. (Kuala Krai, Semporna, Jempol, Bagan dan Hang Tuah Jaya)

Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan kepada parti politik selain yang diwakilinya tidak dianggap bertukar parti. Ini kerana Ahli Dewan Rakyat berkenaan masih kekal sebagai ahli parti politik yang diwakilinya.

S: Bagaimana jika seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti politik yang diwakilinya. (Pontian, Seremban, Pasir Mas, Kuala Krai, Jerlun, Sepanggar, Lubok Antu, Setiawangsa, Seremban, Jerlun, Dungun dan Machang)

J: Jika seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keahlian beliau digugurkan berdasarkan Perlembagaan Parti itu, iaitu `ceases to be a member’ maka Ahli Dewan Rakyat berkenaan dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.

Ini adalah jika perlembagaan parti politiknya memperuntukkan bahawa perbuatan Ahli Dewan Rakyat tersebut yang tidak mengikut prinsip parti/melanggar arahan Whip akan terjumlah kepada beliau tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut dengan sendirinya.

Merujuk kepada perkara ini, Perlembagaan sesuatu parti politik menentukan tindakan terhadap Ahli Dewan Rakyat tersebut. Oleh itu, terdapat keperluan untuk pindaan dilaksanakan terhadap Perlembagaan satu parti politik bagi memastikan selaras dengan RUU ini.

Bagaimanapun, jika seseorang Ahli Dewan Rakyat dipecat dan melalui proses pemecatan, ini merupakan suatu pengecualian yang diberikan dalam pindaan ini. Jawatankuasa Pilihan Khas telah bersetuju dan mengesyorkan agar pemecatan tidak sepatutnya dikategorikan sebagai tindakan bertukar parti.

Antara perkara yang dipertimbangkan adalah seperti berikut:

(i) pemecatan disebabkan Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai masalah disiplin atau masalah dalaman parti politik dan dipecat oleh parti politiknya;

(ii) hal pemecatan memerlukan pendekatan yang berbeza, supaya parti politik tidak menyalahgunakannya; dan

(iii) hal pemecatan adalah suatu perkara yang di luar kawalan Ahli Dewan Rakyat.

S: Adakah Ahli Dewan Rakyat yang menggunakan simbol parti politik lain dalam suatu parti gabungan boleh dianggap bertukar parti. (Pontian, Pasir Mas, Tuaran, Dungun dan Rasah)

J: Terdapat persoalan bahawa mandat rakyat yang diberikan kepada Ahli Dewan Rakyat adalah berdasarkan kepada simbol parti politik yang digunakannya ketika pilihan raya. Dalam hal ini, penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak diambil kira dalam RUU ini. Ini bermaksud, jika seseorang menggunakan simbol sesuatu parti politik mereka tidak akan dianggapkan sebagai bertukar parti jika mereka kembali ke parti mereka atau kekal bebas.

S: Adakah Ahli Dewan Rakyat dari sesuatu parti politik yang kemudian menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas dianggap bertukar parti. (Jempol, Dungun, Julau dan Hang Tuah Jaya)

J: Merujuk kepada perkara ini, tindakan Ahli Dewan Rakyat dianggap bertukar parti kerana Ahli Dewan Rakyat yang menang atas kerusi suatu parti politik telah diberi mandat oleh rakyat melalui undian semasa pilihan raya berdasarkan parti politik yang diwakili.

Selain itu, seorang Ahli Dewan Rakyat yang bukan merupakan anggota mana-mana parti politik (Ahli Dewan Rakyat Bebas) boleh menyokong mana-mana parti politik atau parti gabungan tetapi mesti kekal sebagai Ahli Dewan Rakyat Bebas dan tidak boleh menyertai mana mana parti politik.

Jika beliau bertindak menyertai sesuatu parti politik, maka beliau dianggap bertukar parti. Ini kerana mandat diberikan rakyat atas tiket Bebas dan jika mandat ini tidak dipenuhi, maka kedudukan Ahli Dewan Rakyat harus dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya.

S: Mengapa dalam pindaan RUU ini memansuhkan Fasal (6) Perkara 48 yang akan membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat. (Pengerang, Pontian, Padang Rengas, Batang Lupar dan Rasah)

J: Pindaan ini membenarkan kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai. Pemansuhan peruntukan Fasal (6) Perkara 48 adalah untuk memberikan peluang yang sama rata kepada Ahli Dewan Rakyat yang telah mengosongkan kerusi atas apa jua alasan untuk bertanding semula dan memulangkan mandat kepada rakyat untuk pemilihan semula.

S: Mengapa Ahli Dewan Negara tidak diambil kira dalam peruntukan larangan bertukar parti ini kerana terdapat ahli Dewan Negara yang dilantik kerana penglibatan mereka dalam parti politik. (Pontian)

J: Saya perlu nyatakan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas bersetuju bahawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan bertukar parti pada masa ini tidak terpakai bagi Ahli Dewan Negara setelah mempertimbangkan peruntukan Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan beberapa pandangan antaranya seperti berikut:

(i) Ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori, iaitu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili parti politik masing-masing. Oleh itu, peruntukan larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting isu perundangan ini di peringkat negeri, selain memerlukan perundingan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;

(ii) Ahli Dewan Negara dan semua pihak yang berkepentingan sewajarnya dirundingi terlebih dahulu sebelum isu pemakaian undang-undang mengenai larangan bertukar parti ke atas Ahli Dewan Negara diputuskan; dan

(iii) sokongan Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik boleh memberi implikasi kepada perubahan kerajaan dan kestabilan politik. Oleh itu adalah lebih wajar undang-undang mengenai larangan bertukar parti hanya terpakai ke atas Ahli Dewan Rakyat.

S: Adakah `ouster clause’ dalam seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menjelaskan bahawa apa-apa keputusan daripada parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana mana mahkamah atas apa jua alasan perlu dikaji semula. (Pengerang, Semporna dan Setiawangsa)

J: Persoalan ini adalah di luar skop terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Khas. Bagaimanapun, pengecualian telah diberikan kepada ahli Dewan Rakyat yang telah dipecat supaya peruntukan bertukar parti ini tidak terpakai kepada golongan yang dipecat.

S: Adakah kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan recall election (pilihan raya menarik balik mandat) dalam fasa kedua sebagai alternatif untuk memastikan matlamat larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan. (Pengerang, Pontian dan Kepong)

J: Persoalan ini memerlukan penelitian dan kajian lanjut, termasuk mengambil kira implikasi kewangan kepada Kerajaan. Selain itu, saya juga ingin menjawab kepada Ahli Yang Berhormat Pengerang bahawa usul pembentangan Rang Undang-Undang persendirian melibatkan cadangan recall election yang beliau kemukakan telah ditolak kerana Perkara 67 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu RUU atau pindaan yang membuat peruntukan yang sama ada secara langsung atau secara tidak langsung bagi hal perkara yang melibatkan pencukaian, perbelanjaan dan sebagainya, tidak boleh dibawa atau dicadangkan kecuali oleh Menteri Kewangan.

RUU Persendirian ini mengadakan peruntukan yang secara langsung akan melibatkan kerajaan dalam perbelanjaan yang bersifat substansial dan bukanlah suatu perkara yang bersampingan sahaja. Justeru, RUU Persendirian tidak boleh dibawa atau dicadangkan oleh seorang ahli yang bukan Menteri selaras dengan Perkara 67(1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, berdasarkan kajian awal didapati draf RUU Persendirian tersebut melibatkan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain bagi memperuntukkan antaranya seperti pemecatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pemecatan Ahli Parlimen dan ADUN, kuasa SPR untuk menjalankan pilihan raya disebabkan pemecatan tersebut dan RUU Persendirian ini memerlukan libat urus yang menyeluruh dengan semua stakeholders (pihak berkepentingan) dan agensi yang terlibat dan juga kerajaan Negeri.

Pertimbangan juga perlu diambil kira berkenaan perbelanjaan yang akan ditanggung oleh kerajaan bagi melaksanakan proses pemecatan dan pilihan raya kecil terbabit. Pertimbangan yang teliti juga perlu mengenai proses recall itu sendiri dari segi `threshold percentage’ bagi mengadakan recall dan tatalaku serta perbuatan ahli Parlimen dan ADUN yang menyebabkan recall boleh dijalankan. Semua perkara ini dan hal lain yang belum dikaji hendaklah diperhalusi jika RUU Persendirian tersebut akan dipertimbangkan.

Sehubungan itu, bagi memastikan masalah serius mengenai pertukaran parti ini diatasi dengan segera seperti yang diingini oleh semua pihak, kerajaan bersetuju dengan langkah memperkenalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang “straight forward” bagi membendung masalah pertukaran parti dengan pantas dan berkesan seperti yang kita sedang bahaskan hari ini.

S: Apakah tindakan yang wajar diambil jika selepas pilihan raya, masih terdapat kekurangan sokongan dari Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan atau undian yang sama rata. (Pontian dan Kuala Krai)

J: Dalam hal ini, Jawatankuasa Pilihan Khas bersetuju jika berlaku situasi `hung Parliament’ (Parlimen tergantung), perjanjian gabungan pasca pilihan raya (post-election coalition agreement) boleh dibuat oleh parti-parti politik dan parti-parti gabungan bagi membolehkan mana-mana gabungan parti politik membentuk kerajaan, tanpa menyebabkan anggota parti-parti politik atau parti-parti gabungan yang terlibat dianggap sebagai bertukar parti.

Bagaimanapun, mengikut peruntukan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan masih digunakan dalam situasi ini jika Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu dan dalam keadaan demikian ,kekosongan tersebut hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh pemberitahuan diterima.

S: Bagaimana jika penggal Parlimen dilaksanakan secara tetap (fixed term Parliament) iaitu selama lima tahun untuk setiap penggal bagi memastikan struktur kerajaan yang stabil dengan campur tangan politik yang minimum. (Padang Rengas, Setiawangsa, Muar, Kota Kinabalu)

J: Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, United Kingdom telah meluluskan Fixed-Term Parliament Act pada tahun 2011, namun akta ini dimasuhkan pada 24 Mac 2022 dan digantikan dengan Dissolution and Calling of Parliament Act 2022.

Saya ambil maklum dan perkara ini akan diteliti lanjut kementerian/Jabatan berkepentingan sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan. Namun demikian, cadangan ini juga harus mempertimbangkan kuasa budi bicara Yang Dipertuan Agung selaras dengan peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

S: Peruntukan hukuman/penalti perlu dimasukkan dalam cadangan pindaan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sebagai menunjukkan ketegasan kerajaan mencegah tindakan demikian oleh Ahli Dewan Rakyat. (Jelutong, Hulu Selangor dan Pontian)

J: Bagi maksud cadangan ini, ingin saya nyatakan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas berpuas hati dengan cadangan pindaan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang efektif.

Dalam hal yang sama, tiada keperluan pada ketika ini untuk mengadakan peruntukan hukuman/penalti kepada Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti. Ini kerana Jawatankuasa Pilihan Khas sependapat bahawa kewajipan untuk mengosongkan kerusi dan memulangkan mandat kepada rakyat melalui proses pilihan raya merupakan suatu bentuk penalti/hukuman kepada Ahli Dewan Rakyat. Selain itu, ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan peruntukan kesalahan jenayah tidak wajar dimasukkan.

S: Bagaimana dengan modus operandi pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihanraya jika terdapat Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. (Pasir Mas).

J: Apabila berlaku kekosongan luar jangka akibat Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat tersebut hendaklah dipastikan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat apabila menerima notis bertulis daripada mana mana Ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka .

Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah memberitahu SPR mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh beliau menerima notis bertulis tersebut. Bagi maksud mengadakan pilihan raya di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh SPR menerima pemberitahuan itu daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Saya ingin menarik perhatian semua Ahli Yang Berhormat bahawa tindakan Ahli Yang Berhormat bertukar parti bukan sahaja memberi kesan kepada Ahli Dewan Rakyat, malah impaknya turut melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan dan ekonomi negara setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan untuk memilih semula wakil rakyat kawasan berkenaan yang dikosongkan kerusinya.

Secara umum, anggaran sebanyak RM3.5 juta diperlukan untuk melaksanakan pilihan raya Parlimen dan RM1.5 juta untuk PRK Negeri. Selain implikasi kewangan, pelabur asing yang berpotensi juga akan hilang minat untuk melabur di negara ini kerana ketidakstabilan politik yang berlaku akibat Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. – HARAKAHDAILY 29/7/22