DALAM perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti pada 27 Julai yang lalu, saya telah menzahirkan sokongan terhadap pindaan ini kerana saya berpendapat pindaan ini boleh mengelakkan mudarat yang jauh lebih besar terhadap rakyat dan negara.
Pindaan ini dilakukan setelah kita melihat tindakan beberapa Ahli Dewan Rakyat yang lompat parti selepas PRU-14, telah menyebabkan Malaysia mengalami pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali.
Situasi ini juga memberi kesan yang amat besar terhadap pelbagai aspek khususnya aspek ekonomi apabila Malaysia dilihat sebagai negara yang kurang kestabilan politik, yang akhirnya menjejaskan kepercayaan pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Selain itu, pengkhianatan melalui lompat parti ini turut memberi kesan dari aspek sosial apabila kepercayaan rakyat terhadap demokrasi berparlimen negara turut akan terhakis berikutan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Dewan Rakyat yang telah memenangi pilihan raya melalui parti yang diwakilinya, namun kemudian lompat keluar sama ada menyertai parti lain atau membentuk parti politik yang baharu.
Allah juga melarang sifat khianat ini berdasarnya firmanNya dalam surah al-Anfal ayat ke 27:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَخُوْنُوا اللّٰهَ وَالرَّسُوْلَ وَتَخُوْنُوْٓا اَمٰنٰتِكُمْ وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”
Oleh itu, saya amat berharap agar pindaan RUU Perlembagaan 2022 ini dapat membugarkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen sekali gus mampu mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera dan terjamin kestabilan politiknya demi kebaikan rakyat.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 29/7/2022