Perutusan Hijratul Rasul 1444H Menteri Besar Kelantan

- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT:

‎وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah: 100)

Hijratul Rasul adalah satu peristiwa penting dan bersejarah yang benar-benar mengubah penafsiran falsafah hidup manusia kerana ianya mengandungi suka duka dan pahit maung perjalanan dan pengorbanan seorang pejuang kebenaran yang bernama Nabi Muhammad S.A.W dalam membentuk sebuah masyarakat khayru ummah.

- Advertisement -

Dalam menghayati tema sambutan pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” terdapat tiga perkara penting yang perlu umat Islam hadam dan renungi bersama.

Pertama, hijrah adalah simbolik tersemainya semangat persaudaraan dan penyatuan Umat Islam berasaskan ukhuwah Islamiah yang ditanam dalam diri umat Islam.

Jika umat Islam berpegang teguh kepada penyatuan ummah, nescaya nilai persaudaraan itu akan semakin mengukuh umpama dalam satu binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Hal ini telah dirakamkan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10:

‎إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu mengelak daripada sifat kebencian, perpecahan, hasad dengki, permusuhan dan terlibat dalam budaya fitnah.

Ada pun sifat kasih sayang, akhlak yang baik, bertoleransi dan bersangka baik itu adalah jaminan selepas keimanan kepada Allah SWT dalam melahirkan umat yang baik dan masyarakat yang stabil serta negara yang aman dan makmur.

Kedua, umat Islam mestilah berusaha ke arah pembinaan Keluarga Malaysia yang mesra syariah dengan membuat perubahan untuk membentuk individu, keluarga dan masyarakat yang sentiasa tunduk dan akur kepada peraturan-peraturan kehidupan yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Hijrah menyuntik kejayaan hidup bersatu padu dengan membentuk suatu pegangan yang kuat sehingga dapat menyelesaikan segala masalah berpaksikan akidah Islamiah.

Ketiga, umat Islam mesti terus berusaha untuk memperkasakan Islam melalui lapangan jihad ilmu, ekonomi dan pembangunan umat berpandukan semangat hijrah dalam makna yang lebih meluas. Perubahan ini mampu mengubah keadaan umat Islam sama ada dari segi pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan taraf hidup.

Kerajaan negeri sehingga kini sentiasa berusaha melahirkan generasi rabbani yang sudah pasti dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan apa jua bentuk perubahan dan tuntutan penghijrahan selagi mana ianya masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syariat Islam.

“Merakyat Membangun Bersama Islam”

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
1 Muharam 1444H – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -