Pelihara kesucian agama tanggungjawab semua

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kabinetnya semasa Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam ini. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE /HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peranan memelihara kesucian agama Islam adalah tanggungjawab semua pihak yang perlu digalas bersama dengan bersungguh-sungguh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, tanggungjawab itu selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Katanya, umat Islam perlu menjadi contoh tauladan, menyebarkan kasih sayang untuk mengekalkan keharmonian negara bersendikan aplikasi Fiqh Ta’ayush, iaitu satu konsep fiqh yang boleh diguna pakai dalam mengurus hubungan antara golongan Islam dan bukan Islam supaya kekal dalam keadaan harmoni dan aman, sesuai dengan peredaran zaman.

“Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1444H, marilah kita bermuhasabah untuk memikul tanggungjawab menegakkan Islam sebagaimana qudwah yang ditonjolkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW yang bersabar dan teguh dengan keimanan demi mencapai matlamat meninggikan kalimah Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M dan Majlis Bacaan Yasin Hari Pahlawan Tahun 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam ini.

Turut berangkat Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob juga hadir pada majlis itu.

Menurut Idris, umat Islam dituntut untuk mengubah sikap yang kurang baik kepada sikap yang lebih baik selari dengan Hijrah yang membawa maksud perpindahan.

Katanya, nasib umat Islam tidak akan berubah jika umat Islam sendiri tidak mahu mengubahnya, justeru umat Islam perlu memperteguh kualiti serta jatidiri dengan kembali menghayati ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad semasa berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M, di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam ini. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)

Sambutan Maal Hijrah 1444H/2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran’ telah menobatkan mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Dato’ Othman Mustapha sebagai Tokoh Kebangsaan Maal Hijrah tahun ini.

Sementara itu, Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1444H/2022 dinobatkan kepada Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja.

Tambah Idris, semangat hijrah yang dirukuni Rasulullah SAW dalam melahirkan ummah yang menjiwai nilai insaniah, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan realiti kemajmukan bertepatan dengan tema Maal Hijrah tahun ini.

Katanya, semangat itu yang perlu diterjemahkan dalam Aspirasi Keluarga Malaysia yang menyatukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik serta memulih dan membangunkan negara dalam situasi mencabar kini.

“Antara falsafah penting peristiwa hijrah ialah penyatuan ummah, kesatuan Muhajirin mendokong perjuangan Islam dan semangat perpaduan Ansar menerima saudara-saudara Muhajirin yang tidak mereka kenali sebelum ini.

“Hubungan atas dasar iman dan akidah Islamiyyah ini mengatasi segala-galanya.

“Faktor inilah yang membawa kepada terbinanya Negara Madinah yang menjadi model Kerajaan Islam terbaik yang berkebajikan, adil dan menyatukan semua rakyatnya sama ada penganut Islam mahupun bukan Islam di bawah payung Perlembagaan Madinah.- HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -