Mini Zoo Kuala Krai jadi lokasi pelancongan baharu

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA KRAI: Mini Zoo Kuala Krai dibuka semula Khamis lepas selepas dihenti operasi pada 2011, dijangka menjadi destinasi kunjungan ramai terutamanya pada hujung minggu.

Pembangunan semula Mini Zoo tersebut melibatkan kos RM2.5 juta.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, zoo tersebut dibangunkan semula berkonsepkan manusia dan alam.

Katanya, pembukaan semula Mini Zoo Kuala Krai merupakan inisiatif kerajaan negeri dan Majlis Daerah Kuala Krai untuk mewujudkan lokasi pelancongan baharu.

“Mini Zoo ini mula dibina Majlis Daerah Kuala Krai pada 2020 dengan peruntukan dana sebanyak RM2.5 juta disumbang kerajaan negeri.

“Antara objektif pembukaan semula Mini Zoo Kuala Krai untuk mewujudkan suatu lokasi strategik dan pelancongan baharu bagi dan menggalakkan pelancongan domestik,” katanya ketika merasmikan Mini Zoo Kuala Krai di sini, semaalam.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merasmikan Mini Zoo Kuala Krai di sini, semaalam. Foto Rizal Tahir HARAKAHDAILY)

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, anggota Exco (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Mini Zoo Kuala Krai mula beroperasi pada 24 Dis 1964, namun pada 2005 zoo itu ditukarkan kepada Taman Burung Kuala Krai sebelum ditamatkan operasi pada 2011.

Ahmad juga berkata, mini zoo tersebut menjadi pusat konservasi hidupan liar, mewujudkan peluang pendidikan dan menggalakkan perkembangan ekonomi setempat. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -