Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

- Advertisement -

HIJRAH Rasulullah S.A.W serta para Sahabat Baginda perlu menjadi pedoman dalam kita menghayati dan menterjemahkan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana masih memberi kita peluang dan ruang untuk menikmati kehidupan pada hari ini. 

Menginsafi peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W mengajak kita umat Islam untuk menggalas tanggungjawab memimpin masyarakat ke arah kemakmuran dan kesejahteraan, tanpa perlu meleburkan jati diri dan pegangan kita. Ajaran Islam yang sebenar hendaklah menjadi tonggak kepada hasrat negara yang diimpikan sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah S.A.W membina negara Yatsrib atau Madinah yang mempunyai masyarakat majmuk sebagai satu ‘keluarga’ tanpa perlu menggadaikan prinsip dan ajaran Islam. Ia telah berkembang dan menjadi pemangkin kemakmuran, bukan hanya di bumi Madinah, bahkan kepada masyarakat antarabangsa. Tiada siapa yang mampu menafikan sumbangan peradaban Islam kepada kemakmuran dan kemajuan tamadun manusia.

Oleh itu, ideologi seperti Pluralism, Liberalism, Atheism, dan sebagainya tidak boleh dijadikan sebagai dasar dan formula kepada pembentukan Keluarga Malaysia kerana ia akan mengakibatkan umat dan negara kehilangan identiti dan asal usulnya, selanjutnya mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, marilah kita bersama-sama menghayati semangat hijrah yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Antaranya berhijrah dari perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T kepada amalan yang diredhai-Nya, berhijrah dari sifat tercela seperti hasad dengki, buruk sangka, mengadu domba, memfitnah sesama sendiri sehingga mencetus perpecahan di dalam kehidupan bermasyarakat kepada akhlak mulia. 

Marilah kita saling hormat-menghormati, bertolak ansur, berkasih sayang, tolong-menolong serta membangun negara ke satu tahap yang lebih baik melalui penghayatan hijrah sebenar.

Akhir kata, mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

DATO’ SERI DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
29 Zulhijjah 1444H
Bersamaan 29 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -