Jangan jadikan agama sebagai gurauan, bahan jenaka

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya rakyat tidak menjadikan agama sebagai gurauan dan bahan jenaka.

Titah baginda, jangan sesekali memperkecilkan, menghina dan mempersendakan agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

“Beta menuntut agar kesucian semua agama sentiasa dipelihara dan dihormati sebilang masa. Agama bukanlah merupakan satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka.

“Beta khuatir, perbuatan sedemikian bakal menyemarak dan meruntuhkan api perkauman dan ikatan perpaduan antara kaum yang telah terbina sejak sekian lama,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad serta Jemaah Menteri juga hadir pada majlis itu.

Menurut Al-Sultan Abdullah, tuntutan hijrah hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan, tetapi ianya melibatkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan kepada moral dan etika.

“Sesuai dengan tema Sambutan Maaf Hijrah tahun ini, iaitu ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran’, jadikanlah peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kepada kita untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang,” titah baginda.

Justeru, mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu hijah, baginda menyeru seluruh rakyatnya supaya memelihara nikmat dan rahmat sebuah negara yang merdeka dan berdaulat ini. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -