Hijrah Rasulullah bina masyarakat madani, laksana keadilan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah semata-mata bagi melepaskan diri daripada menghadapi tekanan, penindasan, dan penghinaan; apatah lagi jika hendak disamaertikan dengan pelarian atau suaka politik.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahkan, lebih besar daripada itu, hijrah Baginda Rasul SAW bersama para sahabat adalah dengan membawa suatu gagasan murni, iaitu untuk membina sebuah masyarakat madani dan melaksanakan keadilan sama ada terhadap orang Islam mahupun yang bukan Islam.

- Advertisement -

“Seterusnya, hijrah juga sangat berkait rapat dengan jihad bagi mempertahankan aqidah dan menegakkan Islam dalam diri serta negara yang berwawasan akhirat supaya Islam memimpin bukan dipimpin,” ujarnya menerusi Facebook beliau, malam ini sempena Sambutan Maal Hijrah 1444.

Beliau menambah, pada masa yang sama, jihad juga bererti tidak menyerah kalah kepada musuh demi mendukung dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang tertinggi.

Justeru, katanya peranan dan tanggungjawab bagi menegakkan dan mempertahankan Islam perlulah digalas oleh semua pihak, sama ada oleh para pemerintah mahupun rakyat jelata secara keseluruhannya.

“Hayatilah iktibar melalui kisah hijrah Rasulullah SAW yang sangat mendidik kita agar sentiasa yakin terhadap janji Allah, teguh dengan keimanan, kukuh dengan persaudaraan, serta sabar dalam menjunjung risalah Islam yang agung,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Untuk itu, beliau mewakili PAS amat berbesar hati mengambil kesempatan bagi mengucapkan Salam Maal Hijrah 1444H kepada seluruh umat Islam.

“Mudah-mudahan, dengan kehadiran tahun baharu ini, Allah SWT senantiasa memperbaharui jiwa kita dalam kembara menjadi seorang hamba, khalifah, dan pemegang amanah yang kekal berada di atas jalan petunjuk-Nya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -