Hijrah menyatukan ummah, membina kekuatan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ. 

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (Sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada Sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

(at-Taubah: 40)

Peristiwa Hijrah merupakan peristiwa yang sangat penting dalam taqwim umat Islam di mana ianya merupakan titik permulaan kepada tertegaknya sebuah negara Islam di Madinah (Yathrib).

Banyak pengajaran dan panduan dapat diambil daripada peristiwa hijrah ini. Hijrah adalah pengorbanan di mana para Sahabat Baginda Rasulullah S.A.W terpisah dengan keluarga tersayang, tiada lagi kesenangan hidup untuk mereka semata-mata kerana mempertahankan iman dan Islam.

Hijrah adalah persaudaraan di mana golongan Ansar telah membantu mencukupkan keperluan golongan Muhajirin. Jika bukan atas dasar keimanan kepada Allah, amat sukar untuk berkorban sebegitu walaupun untuk keluarga sendiri. Teladan yang terbaik dipertontonkan kepada kita oleh generasi Assalafus Soleh.

Hijrah juga satu bentuk perjuangan untuk menyatukan umat Islam. Penyatuan Ummah akan membina persefahaman dan menjadi nadi kekuatan umat Islam. Dari situ terbinanya kekuatan umat Islam yang secara langsung memberi kekuatan kepada negara Islam Madinah.

Bersempena kedatangan Tahun Baharu 1444 Hijrah PAS Johor mengucapkan selamat menyambut tahun baharu Hijrah dengan iringan doa dan pengharapan semoga umat Islam khasnya dan seluruh anggota Keluarga Malaysia amnya akan terus hidup dalam suasana harmoni dan penuh kerukunan demi mewujudkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa besar Hijrah Rasulullah S.A.W bersama para Sahabat Baginda demi merealisasikan matlamat perjuangan yang sebenar untuk mencapai redha Allah S.W.T.

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -