Ahli Parlimen perlu utamakan kepentingan ummah

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Semangat penyatuan Ahli-Ahli Parlimen ketika menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti wajar diteruskan ke arah pembangunan ummah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, berkata Ahli Parlimen hendaklah mengutamakan kepentingan ummah dalam setiap perkara.

- Advertisement -

Katanya, penyatuan ummah mungkin masih jauh untuk dicapai, namun diyakini kesedaran akan tercapai pada masa hadapan.

“Saya secara peribadi menyokong RUU itu kerana lompat parti merupakan penyakit, seseorang yang diberi kepercayaan rakyat untuk menjadi wakil rakyat, tetapi mengkhianati rakyat setelah menang.

“Sikap dan perangai lompat melompat berlaku kerana individu tersebut yang tidak tetap pendirian menyebabkan mereka bertukar sering bertukar parti,” katanya di sini, hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam, mencatat sejarah apabila RUU berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti mendapat sokongan lebih dua pertiga. Seramai 209 Ahli Parlimen menyokong RUU itu, manakala 11 orang lagi tidak hadir.

RUU berkenaan dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Rabu lalu dan dibahas oleh 54 Ahli Parlimen sebelum diluluskan semalam.

Pindaan tersebut mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya jika bertukar parti.

“Alhamdulillah dalam PAS, kita boleh kata ada yang tidak berpuas hati, tetapi dia tidak melompat ke parti lain. Dahulu mungkin ada, tetapi akhir-akhir ini kematangan ahli PAS berpolitik terserlah berbanding parti lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/22

- Advertisement -