KOTA BHARU: Ketua-ketua masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang menimba pengalaman berkaitan pengurusan Pusat Khidmat Adun (PKD) dengan mengadakan lawatan ke beberapa PKD.
Program tersebut yang dianjurkan Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan disertai seramai 40 pemimpin komuniti terbabit.
Rombongan terbabit diketuai Penghulu Jumat Abak dari Dun Nenggiri dan dibantu Sudin Mohd Nor serta Salim Climbong.
Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri, Jamaluddin Ishak berkata, lawatan tersebut yang bermula hari ini dengan mengadakan lawatan ke PKD Kemuning, Machang.
Katanya, pada lawatan tersebut pemimpin masyarakat Orang Asli mendengar taklimat disampaikan Adun Kemuning Mohd Roseli Ismail.
Kata beliau, pada hari kedua pula lawatan diadakan di PKD Pengkalan Kubor di mana akan diadakan majlis ramah mesra dengan Adun kawasan berkenaan, Wan Roslan Wan Hamat.
“PKD terakhir yang akan dikunjungi pada Sabtu iaitu PKD Kelaboran. Pemimpin masyarakat Orang Asli akan mengikuti taklimat disampaikan Adun terbabit Mohd Adanan Hassan,” katanya di sini.
Selain itu, rombongan ketua masyarakat Orang Asli juga akan mengikuti kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu esok yang akan disampaikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Dan pada sebelah petang mereka akan dibawa melawat Laman Warisan di Kampung Laut, Tumpat. Mereka turut berpeluang membeli belah di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor.
Pada pagi Sabtu mereka akan dibawa melawat Pasar Terapung Sri Tanjung yang kini menjadi lokasi tumpuan pelancong.
Jamaluddin juga berkata, rombongan pemimpin masyarakat Orang Asli juga akan dibawa melawat jualan pelbagai produk Kelantan di KALA Sentral berhampiran Masjid Muhammadi.
Sementara itu dalam perkembangan lain Penghulu Tanpa Mukim Wanita Orang Asli Shila Angah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasik, Gua Musang pagi tadi.
Di Kelantan sebahagian besar masyarakat Orang Asli tinggal di pedalaman Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.
Kerajaan negeri melantik beberapa pemimpin masyarakat Orang Asli sebagai penghulu bagi membolehkan masalah membabitkan kaum terbabit diketengah kepada kerajaan. – HARAKAHDAILY 28/7/2022