Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Bersama bagi menyelesaikan isu buruh paksa yang menyebabkan syarikat negara ini dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (Withhold Release Order-WRO).
WRO dilakukan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (United States Customs and Border Protection-US CBP).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah hasil lawatan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, ke Washington, AS, pada 8 hingga 13 Mei lalu yang bertujuan menangani isu buruh paksa secara teratur.
Menurutnya, ketika lawatan itu, beliau bertemu pihak berkepentingan seperti Jabatan Buruh AS, Jabatan Negara AS dan US CBP.
Ketika pertemuan itu, katanya Menteri Sumber Manusia mencadangkan penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan hubungan baik antara kedua-dua negara dan cadangan ini disambut baik dan dipersetujui oleh US CBP.
“Jawatankuasa ini dijadualkan bertemu setiap tiga bulan dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada Ogos ini secara maya. Mesyuarat kedua pula dirancang diadakan secara fizikal di Kuala Lumpur pada Disember tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Melalui jawatankuasa ini, Awang berkata, pelbagai program kerjasama dijangka dapat dijalankan seperti program pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan teknologi serta sesi dialog bersama pihak berkepentingan seperti kesatuan sekerja dan industri.
Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, lapan syarikat Malaysia dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO), iaitu syarikat produk sarung tangan getah dan kelapa sawit.
Pada tahun lalu, katanya dua daripada lapan syarikat berkenaan telah dilepaskan daripada perintah itu selepas mengambil langkah pencegahan dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi perkara ini.
“Ini termasuk dengan membuktikan bahawa produk yang dibuat, dihasilkan, atau dikilangkan tidak melibatkan sebarang amalan buruh paksa,” katanya.
Sementara itu, katanya Kementerian Sumber Manusia juga membuat pindaan terhadap beberapa undang-undang perburuhan bagi memastikan usaha membasmi amalan buruh paksa dapat dilaksanakan dengan lebih serius.
Menurutnya, antara undang-undang yang dipinda ialah Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang memasukkan peruntukan berhubung buruh paksa dan akan dikuatkuasakan pada 1 September ini. – HARAKAHDAILY 28/7/22