Guru KAFA berjiwa murabbi – Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) besar peranannya.

“Mereka mengajar anak-anak kita sejak berumur tujuh tahun untuk bersolat, mengajar anak-anak kita tauhid dan mengenal Nabi SAW,” ujarnya menerusi catatan di Facebooknya, malam tadi.

- Advertisement -

Ini susulan beliau bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Majlis Anugerah KAFA Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang diadakan malam tadi sebagai menghargai keluarga besar guru KAFA dan Penyelia KAFA. 

Katanya, ada yang telah berkhidmat berbelas tahun sebagai guru KAFA yang beliau anggap mereka semua adalah frontliners JAKIM dan agensi Islam.

Menurutnya, kelas KAFA juga telah dilebarkan kepada murid-murid berkeperluan khas.

Beliau berkata, setakat ini buat permulaan, tiga buah kelas Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) pendengaran dan penglihatan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1), usaha dan kerjasama antara JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Tambahnya, JAKIM juga akan sentiasa memperkasa latihan keguruan, kebajikan serta menambah baik pengurusan guru KAFA dan Penyelia KAFA.

“Saya sebut tadi, kita akan terus berusaha demi memartabatkan pendidikan KAFA bersama-sama agensi pusat dan agensi pelaksana KAFA di negeri-negeri.

“Tahniah buat JAKIM, para guru KAFA yang sentiasa bersemangat dan istiqamah mendidik generasi mukmin dan muttaqin. Guru KAFA berjiwa murabbi,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

- Advertisement -