Akta solusi, bukan untuk menghukum

- Advertisement -

ADA pihak bimbang, apabila Akta Kawalan Tembakau 2022 diluluskan nanti, kerajaan akan bersifat zalim kepada golongan remaja. Tindakan perundangan yang akan dikenakan boleh menyeksa mereka. Hak mereka sebagai warganegara merdeka akan dinodai.

Tuan-puan, akta tidak akan terlaksana jika tidak disertai dengan pelan penyelesaian dan pelaksanaan. Dalam konteks pelaksanaan inilah pihak berwajib akan menggunakan konsep mendidik. Ini bermaksud memberikan peluang agar golongan generasi penamat yang telah terjebak itu diberikan peluang untuk dirawat. Manakala generasi yang masih belum terlibat, ditutup terus mendapat akses menggunakan bahan bahaya itu.

Perkara ini sangat penting agar akta yang akan dibentangkan nanti tidak bersifat punitif atau menghukum semata-mata. Sudah tentu pelan pelaksanaan mendidik anak bangsa kita telah dan sedang giat diatur.

Sejak hampir sedekad KKM mencari pelbagai solusi. Di antara usaha gigih yang sedang dirancang adalah satu Pelan Perancangan 5 tahun yang dinamakan GEGAR-18 (Generational End Game Anti Rokok menjelang umur selepas 18 tahun) telah.

Kenapa pelan 5 tahun sehingga umur 23 tahun? inilah uslub mendidik yang akan diterap. Di mana generasi yang berumur 18-23 tahun adalah waktu kritikal dalam kehidupan. Pakar psikologi mengesahkan perubahan umur akhir remaja inilah yang akan menentukan halatuju mereka pada masa akan datang. Jika kita sebagai penguasa atau penjaga ummah ini mengambil peluang mendidik mereka ke arah yang baik, Insya-Allah kita akan membina satu generasi yang bebas dari bahana rokok. 

Kajian mendapati jika seseorang itu tidak memulakan tabiat merokok sehingga umur 23 tahun, mereka akan kekal tidak merokok seumur hidup. Ini kerana peringkat umur 18-23 tahun adalah peringkat umur mereka paling mudah terdedah (most susceptible) kepada kesan ketagihan nikotin. 

Ini disebabkan otak mereka sedang berkembang pesat pada peringkat umur tersebut. Berdasarkan kajian Lim et al, 2013, purata umur mereka yang mula merokok (age of initiation) adalah 18.3 tahun dan peratusan perokok adalah paling tinggi di kalangan mereka yang berumur 21-30 tahun berbanding kategori umur lain.

Inilah ultimatum yang kita kehendaki. Di samping itu kerajaan berusaha menutup lubang-lubang bahaya rokok atau vape melalui akta yang dibentuk ini. Ini merupakan satu pendekatan yang holistik demi menyelamatkan anak-anak remaja kita terjebak seawal 18 tahun dengan asap rokok atau vape.

Kaedah ini bukan melanggar hak asasi, tetapi memperkukuhkan lagi kesahsiahan anak remaja ke arah yang tidak memudaratkan diri sendiri. Adakah membunuh diri melalui rokok itu dianggap hak peribadi? Tidak, ianya sudah menjadi hak kenegaraan bagi menjamin keluhuran setiap warganegara.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 28/7/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -