PADA minggu hadapan, YBM Menteri Kesihatan, Tuan Khairy Jamaluddin akan membentangkan sebuah akta yang mungkin bakal mengubah masa hadapan negara.
Akta tersebut tidak lain tidak bukan Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok. Rang Undang-undang ini akan menyaksikan larangan kepada individu yang lahir selepas 2007 untuk membeli rokok dan produk berkaitan.
Pada 2016, pasukan KKM telah membentangkan cadangan pengharaman vape atau rokok elektronik, namun kabinet pada waktu itu telah memilih hanya untuk mengawal vape.
Pelbagai usaha telah digerakkan KKM bagi mengatasi peratusan perokok yang tinggi dalam negara. Namun hanya sebahagian berkesan.
Pelaksanaan Generational End Game (GEG) merupakan satu pendekatan larangan bertahap yang memfokuskan pelindungan kepada generasi muda daripada terdedah kepada akses rokok.
Status quo menunjukkan larangan membeli rokok kepada kanak-kanak bawah 18 tahun berkesan dalam mengurangkan pertambahan perokok. Namun berbeza pula dengan peratusan perokok dalam kalangan dewasa berumur 40 tahun ke bawah yang mencecah 30-40 peratus.
Pendekatan GEG juga memberi ruang kepada pengusaha industri untuk meneroka industri alternatif apabila peraturan yang amat ketat dikenakan kepada konsumer rokok.
Fakta jelas menunjukkan rokok yang mengandungi hampir 4,000 bahan beracun tidak selamat untuk dimasukkan ke dalam anggota badan. Penggunaan vape kononnya sebagai alternatif rokok konvensional hanya mewujudkan masalah lain iaitu EVALI (E-cigarette and Vape Associated Lung Injury).
Fakta ekonomi pula tidak lah menguntungkan sangat negara Malaysia. Berbanding 16 bilion dibelanjakan untuk penyakit disebabkan rokok dengan 2.8 bilion hasil cukai tahunan, yang manakah lebih berbaloi?
Amat pelik sekali kenyataan-kenyataan dikeluarkan oleh sebahagian Ahli Parlimen seperti Dato Seri Anwar Ibrahim dan YB Syed Saddiq yang tidak tegas dalam usul yang jelas hitam dan putih ini. Sentimen kerugian dari sudut ekonomi yang dirisaukan mereka sebenarnya isu kecil yang boleh diselesaikan dengan usaha yang lebih bersepadu daripada pihak kerajaan.
Masalah seperti peningkatan penyeludupan, kehilangan pelabur berkaitan industri, kehilangan pekerjaan adalah sebab utama Generational End Game perlu dilaksanakan! Kerana ia memberi ruang untuk kerajaan menyusun strategi dan menyerap impak hasil pelaksanaan akta ini.
Apakah kerana takutkan masalah ini, maka rokok tidak perlu diharamkan?
Tidak perlu para ahli politik terlalu ingin menjaga hati pemain industri. Jadilah seperti PAS yang menyatakan secara jelas sokongan terhadap RUU ini.
Apa yang penting kita tidak mengulangi kesilapan pada 2016 apabila kita terlepas daripada pengharaman vape dan rokok elektronik.
Anak-anak kecil dan pewaris negara berhak dilindungi daripada asap yang durjana ini!
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 28/7/2022