Oleh YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Seluruh negara dikejutkan kejadian gangguan elektrik yang tiba-tiba terjadi kira-kira jam 12.45 tengah hari di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.
Kejadian yang kini ditularkan di media sosial seperti Twitter dan Facebook menyebut antara kawasan yang dikatakan terjejas ialah Bangi, Serdang, Ampang, Shah Alam, Subang, Kuala Lumpur.
Seorang pekerja swasta, Ziauddin Sharuddin, 54, yang tinggal di Bangi ketika dihubungi HarakahDaily berkata, ketika sedang bekerja dari rumahnya, bekalan elektrik tiba-tiba terputus kira-kira pada jam 12.30 tengah hari.
“Bekalan elektrik masih belum pulih rumah saya pada ketika ini. Saya terpaksa meneruskan kerja dalam keadaan bergelap bertemankan cahaya lilin,” ujarnya ketika kali terakhir dihubungi pada jam 1.45 petang, yang mana Ziauddin kemudian mengesahkan bekalan elektrik di rumahnya kembali pulih pada jam 3 petang.
Sementara itu menerusi ciapan Twitter seorang pengguna, @khairul_hafidz, menyebut tentang maklumat daripada wakil TNB dikenali sebagai Zulaikha berkata bahawa aduan mengenai bekalan elektrik terputus telah dimajukan kepada unit berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
“No rujukan aduan ialah U887DR. Semakan menunjukkan terdapat gangguan bekalan di Pencawang Pembahagian Utama Ulu Kelang menyebabkan ketiadaan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
“Anggaran masa baik pulih adalah dalam tempoh satu hingga tiga jam atau bergantung kepada kerosakan. Maaf atas kesulitan yang dihadapi dan kesabaran anda dihargai.”
Sementara itu, satu kenyataan awal di Facebook TNB Careline berkata, “Pelanggan yang dihormati, ketika ini terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
“Pasukan teknikal kami sedang mengenalpasti punca kejadian. Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.
“Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna bekalan (elektrik) ini,” ujar kenyataan tersebut. –HARAKAHDAILY 27/7/2022