Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang amat mengambil berat kebajikan kakitangan dari pelbagai skim perkhidmatan, secara konsisten meneruskan usaha memperkasakan institusi penguatkuasaan agama.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ini turut membabitkan Pegawai Hal Ehwal Islam dari Skim Sosial yang dilantik untuk melaksanakan tugas sebagai Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) di negeri-negeri.
Namun begitu, katanya kenaikan gaji tertakluk kepada pekeliling semasa yang dikeluarkan oleh kerajaan dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk melihat semula keupayaan kewangan negara untuk menampung jumlah kenaikan skim gaji .
“JAKIM sedang menjalankan kajian untuk memperkasakan institusi penguatkuasaan syariah merangkumi penyelarasan fungsi-fungsi Bahagian Penguatkuasaan Syariah dan kebajikan anggota PPA di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan skim gaji anggota penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dinaikkan bersesuaian dengan cabaran bidang tugas mereka.
Ahmad Marzuk berkata, kajian menyeluruh sedang dilakukan oleh JAKIM bersama JAIN bagi mencapai kesefahaman dalam usaha menggalakkan Skim Gaji PPA di seluruh negara kerana sebahagian mereka adalah penjawat awam lantikan negeri.
Menurutnya, aspek penting yang sedang diteliti merangkumi gred jawatan PPA sedia ada di setiap negeri, bilangan anggota PPA dan statistik aduan perlakuan kesalahan jenayah.
Menjawab soalan tambahan Wan Hassan, katanya kajian peringkat akhir, pertama untuk memperkasakan gred jawatan Ketua PPA kepada gred 54, selaras dengan rumusan kajian memperkasakan institusi penguatkuasaaan syariah untuk mempertingkatkan gred jawatan Ketua PPA kepada gred jawatan lebih tinggi.
Kedua, katanya pelantikan pegawai penyiasat hendaklah terdiri daripada kalangan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 dan Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S19.
Ketiga, katanya ialah cadangan mewujudkan elaun khas dan insurans perlindungan secara berkelompok kepada PPA negeri secara keseluruhan dengan sebahagian negeri telah melaksanakan skim insurans berkelompok bagi melindungi dan menjaga kebajikan penguat kuasa. – HARAKAHDAILY 27/7/22