Bekalan beras negara stabil, mampu tampung keperluan rakyat

KUALA LUMPUR: Tidak dapat disangkal peningkatan harga barangan dan juga gangguan dalam rantaian bekalan membabitkan beberapa jenis barang keperluan seperti minyak masak dan telur ayam yang kini dihadapi negara meresahkan pengguna.

Ditambah pula ada badan dunia yang tidak putus-putus memberi ingatan tentang ancaman krisis makanan yang berpotensi dialami oleh kebanyakan negara, jika beberapa isu semasa termasuk perubahan iklim dan konflik Rusia-Ukraine, iaitu negara “bakul makanan dunia”, tidak ditangani dengan baik pada kadar segera.

Mungkin bersandarkan situasi berkenaan, ada segelintir yang tertanya-tanya tentang bekalan beras negara memandangkan Malaysia masih perlu mengimport sebahagian daripada makanan ruji rakyat itu untuk menampung keperluan domestik.

Tidak perlu bimbang, demikian jawab Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee baru-baru ini yang menjelaskan bekalan beras negara kekal stabil dan mampu menampung keperluan rakyat sekalipun berlaku kecemasan.

Advertisement

Menurut MAFI, hal itu dapat dilihat semasa kemuncak penularan pandemik Covid-19 apabila ada negara mengalami gangguan bekalan makanan utama mereka, namun bekalan beras Malaysia kekal stabil.

Bukan sahaja mudah didapati, harga beras negara juga adalah yang terendah dalam kalangan negara ASEAN termasuk pengeksport beras dunia seperti Thailand dan Vietnam yang masing-masing pada harga RM2.70 dan RM3.34 sekilogram berbanding Malaysia hanya RM2.60.

Stok penimbal beras

Menurut MAFI, pengeluaran padi dan beras negara semasa mampu menampung 70 peratus keperluan domestik dengan bakinya diimport antaranya dari Vietnam, Thailand, India dan Pakistan.

Sekalipun begitu, menurut Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Bahagian Pembangunan Industri Padi MAFI Azman Mahmood, stok dagangan beras negara sentiasa stabil pada kadar 600,000 hingga 700,000 tan pada satu-satu masa.

“Jumlah ini merangkumi beras yang ada di tangan pemborong dan peruncit, hasil tuaian padi yang belum diproses menjadi beras, beras import yang belum dipunggah dan masih berada di atas kapal dan lain-lain.

“Sekiranya jumlah stok penimbal turut diambil kira, maka keseluruhan stok adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara tanpa beras import bagi tempoh empat hingga lima bulan,” jelasnya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada masa sama, MAFI dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sedang menggandakan stok penimbal beras secara berperingkat daripada 150,000 tan kepada 290,000 tan menjelang tahun depan, demi meningkatkan sekuriti bekalan bagi menghadapi sebarang kejadian luar jangka.

“Penambahan stok penimbal ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan daripada kementerian. Ketika ini stok penimbal tersebut berada pada kadar 88.52 peratus iaitu 221,311 tan dan akan mencapai sasaran peningkatan iaitu 250,000 tan pada akhir 2022.

“Penambahan stok penimbal ini akan dilaksanakan sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan tanpa mengambil kira faktor luaran seperti pandemik, perubahan iklim dan sebagainya,” katanya lagi.

Penyeliaan stok penimbal beras nasional diuruskan sepenuhnya oleh Bernas dan merupakan antara klausa obligasi sosial yang terkandung dalam perjanjian konsesi di antara kerajaan dan syarikat itu bagi tempoh 2021 hingga 2031.

Menerusi perjanjian konsesi itu, Bernas perlu memelihara, mengurus, menyelenggara dan mengekalkan stok penimbal beras pada kadar semasa yang ditetapkan oleh kerajaan.

Capai sasaran SSL

Bagi memastikan bekalan beras negara kekal mencukupi, kerajaan melaksanakan beberapa langkah, antaranya menggalakkan golongan belia menceburi bidang pertanian bagi menggantikan golongan pesawah yang semakin berusia, memastikan pihak berkepentingan memanfaatkan Internet of Things (IoT) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) serta menggandakan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan varieti benih baharu yang lebih rintang serangan penyakit tumbuhan.

Kementerian juga pada masa sama sedang dan akan memperkenalkan beberapa program untuk mengurangkan impak pelbagai faktor global yang sedang didepani oleh industri itu.

“Antaranya, menambah subsidi racun makhluk perosak sebanyak RM62 juta pada tahun ini bagi menyerap kenaikan kos bahan input tersebut yang meningkat dengan ketara di peringkat global, memperkenalkan takaful pertanian bagi menangani kerosakan tanaman padi akibat bencana alam, memperkenalkan penggunaan baja organik bagi tujuan merawat tanah selain mengurangkan penggunaan baja kimia dan sebagainya.

“Semua program itu bertujuan mencapai tahap sara diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus menjelang akhir tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 dan sebanyak 80 peratus menjelang akhir tempoh Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya.

Kurangkan kebergantungan import

Bernas yang merupakan pengimport tunggal beras negara sejak 1990-an, membawa masuk hingga 800,000 tan beras setahun dengan majoritinya ialah beras putih dan bakinya beras speciality atau beras khusus yang sukar ditanam di negara ini seperti basmati.

Sekalipun begitu, trend mengimport beras wajar dikurangkan, mengambil kira ancaman sekuriti makanan yang dihadapi dunia sekarang disebabkan oleh beberapa faktor seperti perubahan iklim dan konflik politik.

Mengakui perkara itu, Azman berpendapat kerajaan memerlukan satu lonjakan drastik bagi meningkatkan produktiviti padi domestik.

“Walaupun pelbagai program, bantuan dan insentif daripada kerajaan bernilai berbilion ringgit dilaksanakan saban tahun, analisis kementerian mendapati kedua-dua kawasan jelapang dan luar jelapang masih gagal memberikan produktiviti yang memuaskan.

“Sudah sampai masanya pihak swasta turut diberikan peluang memainkan peranan menerajui industri padi dan beras negara bagi menyuntik semangat baharu kepada industri ini  dengan memanfaatkan sumber modal pembiayaan swasta semaksimum mungkin.

“Kementerian berhasrat untuk menarik pelaburan swasta bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing,” katanya, menambah keperluan bekalan padi bagi pemprosesan beras domestik dijangka terus meningkat.

Menyentuh mengenai Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), beliau berkata program itu menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada tujuh tan sehektar dalam tempoh RMK-12 berbanding purata hasil semasa sekitar 3.5 hingga 4.3 tan sehektar.

“Dalam tempoh jangka panjang, program ini menyasarkan pembangunan kawasan sawah seluas 150,000 hektar semusim atau 300,000 hektar kawasan bertanam setahun yang bakal meningkatkan pendapatan petani hingga 180 peratus,” kata Azman, menambah MAFI yakin sasaran SSL 75 peratus menjelang akhir 2025 dapat dicapai.

Bagi tujuan itu, beliau berkata MAFI berharap kerajaan negeri tidak mengubah status rizab kawasan pertanian, sama ada di dalam atau di luar jelapang, kepada sektor lain.

“Peranan pemain industri, badan bukan kerajaan dan pesawah penting bagi menjadikan industri padi dan beras negara berdaya saing sekali gus meningkatkan sekuriti bekalan makanan negara,” katanya.

Setakat ini program rintis SMART SBB berjaya menarik minat 24 buah syarikat yang terdiri daripada badan berkaitan kerajaan dan pihak swasta yang telah dilantik sebagai Syarikat Peneraju program.

Ulasnya lagi, MAFI, melalui Agrobank akan memperkenalkan insurans agromakanan dengan padi dipilih sebagai perintis di bawah SMART SBB.

Katanya langkah itu dapat membantu memastikan pesawah menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku musibah seperti banjir, kemarau atau ribut yang menjejaskan pengeluaran padi mereka.

Sedia hadapi kemungkinan 

Sementara tu, profesor di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata berbeza dengan sektor perindustrian, sektor pengeluaran makanan lebih terdedah kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian yang sukar diramal.

Justeru katanya pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan, melibatkan pemantauan situasi dan ramalan harga, perancangan kesediaan kecemasan melalui amaran awal serta memperkenalkan langkah-langkah pencegahan bencana alam seperti skim pengairan, kawalan banjir dan juga skim insurans pengeluaran makanan.

Pihak berkuasa juga perlu memantau harga makanan secara berterusan selain memastikan keberkesanan penyaluran input pertanian kepada petani serta kelancaran operasi logistik rantaian bekalan makanan, sekali gus menjamin aliran perdagangan yang lancar dan memanfaatkan keseluruhan pasaran.

“Ekosistem pertanian bukan sahaja penting untuk sekuriti makanan tetapi juga untuk keseimbangan ekologi. Antara yang perlu ditimbang ialah mencontohi model pengeluaran tanaman industri khususnya kelapa sawit yang ada kewujudan bersama di antara syarikat besar dan pekebun kecil… faktor kejayaan ini perlu dicontohi dalam sektor pengeluaran padi.

“Sektor pengeluaran padi juga wajar diusahakan oleh golongan usahawan bagi memastikannya dapat dibangunkan menjadi sektor yang moden, berdaya saing dan komersial,” katanya, menambah program SMART SBB perlu terus diperluas.

Beliau turut memetik laporan tenaga kerja tahun lepas yang menyebut hanya sekitar 15 peratus daripada 1.4 juta belia di negara ini terlibat dalam pertanian yang menurutnya boleh dipertingkat menerusi program pendidikan dan insentif.

Remajakan sektor pertanian

Beliau turut menyarankan Malaysia mencontohi Vietnam dan Thailand dalam meningkatkan pengeluaran beras, berikutan kedua-dua negara tersebut mempunyai struktur ekonomi yang mirip dengan Malaysia.

Vietnam dan Thailand merupakan antara pengeluar beras terbesar dunia (termasuk untuk kegunaan sendiri), dengan masing-masing merekodkan 27.4 juta dan 18.9 juta tan pada 2020, menyusuli China (148.3 juta tan), India (122.27 juta tan), Indonesia (35.3 juta tan) dan Bangladesh (34.6 juta tan).

“Thailand mempunyai Strategi dan Dasar Padi dan Beras (2017–2021). Antara strategi pengeluaran beras negara itu ialah menetapkan rancangan penstrukturan semula untuk mengurangkan pengeluaran berlebihan agar sesuai dengan permintaan.

“Secara terperinci, kawasan tanaman yang ada dikelaskan kepada dua, iaitu kawasan sesuai dan tidak sesuai. Untuk kawasan sesuai, peningkatan kecekapan pengeluaran dan kualiti produk akan diberi penekanan manakala bagi kawasan tidak sesuai, pertanian campuran atau pertukaran aktiviti lain akan dipromosikan dengan memberi insentif kepada petani.

“Bagi mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan kualiti produk, teknologi yang sesuai dipindahkan kepada pesawah secara meluas melalui Amalan Pertanian Baik (GAP) selain mempromosi produk yang mempunyai nilai tambah termasuk melalui kursus dan latihan mengenai pemprosesan, pembungkusan dan pengembangan jenama,” jelasnya.

GAP merangkumi inovasi dan pelaburan dalam teknologi sistem pertanian seperti penderia tanah dan air, pengesanan cuaca, pengimejan satelit, automasi, teknologi minikromosom, pertanian menegak, kecerdasan buatan, nanoteknologi, aplikasi GPS, robot dan pertanian ketepatan.

“Dalam menggunakan teknologi ini misalnya, petani tidak lagi perlu menggunakan air, baja dan racun perosak secara seragam di seluruh ladang. Sebaliknya, mereka boleh menggunakan kuantiti minimum yang diperlukan dan menyasarkan kawasan yang sangat khusus untuk merawat tanaman secara berbeza,” katanya. – BERNAMA