38 maut minum arak palsu di India

Seorang lelaki dipindahkan di atas pengusung sebaik tiba dengan ambulans di hospital awam di Ahmedabad, India pada 25 Julai 2022 selepas mengalami masalah kesihatan akibat mengambil arak tiruan. (FOTO AFP)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

GUJARAT: Seramai 38 orang maut selepas mengambil alkohol tiruan di negeri Gujerat barat India dalam insiden yang berlaku pada pagi Isnin (25 Julai).

Tragedi itu berlaku apabila penduduk di kampung Rojid di bandar Barwala dan Botad di negeri itu dimasukkan ke hospital kendalian kerajaan selepas mereka mula berasa sakit teruk, lapor The National News.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Polis Gujarat, Ashish Bhatia berkata, dua orang maut pada sebelah pagi dan lima lagi kehilangan nyawa ketika menjalani rawatan pada siang hari manakala tiga lagi maut semasa rawatan lewat malam Isnin.

Kira-kira 30 orang masih menjalani rawatan di pelbagai hospital kerajaan di Bhavnagar, Botad, Barvala dan Dhandhuka, dan ada yang dikatakan kritikal.

Himmat Bhai, yang sedang pulih di sebuah hospital di Barwala, memberitahu media tempatan bahawa dia jatuh sakit selepas membeli minuman keras itu daripada seorang pencuri pada malam Ahad minggu lepas.

Minuman beralkohol diharamkan di Gujarat – negeri asal Perdana Menteri, Narendra Modi dan hanya mereka yang mempunyai permit kesihatan khas daripada kerajaan boleh minum alkohol.

“Sesiapa yang ditangkap membeli, mengambil atau menghidangkan alkohol tanpa permit boleh dipenjara lima tahun.

“Kerajaan negeri sedang mengambil tindakan sewajarnya dalam episod itu,” kata Yamal Vyas, jurucakap Parti Bharatiya Janata yang memerintah.

Sehubungan itu, polis Gujerat telah membentuk pasukan penyiasat dengan skuad antikeganasan dan tiga orang dikatakan suspek; seorang pengurus gudang yang dikaitkan dengan perniagaan metil dan saudara-maranya.

Siasatan awal mendapati metil yang dicuri dari gudang itu dituang dalam sachet dan dijual sebagai minuman keras.

Sementara, Cbc.ca pula melaporkan pegawai kanan kerajaan, Mukesh Parmar berkata kematian berlaku di daerah Ahmedabad dan Botad di negeri Gujarat, ketika  pembuatan, penjualan dan pengambilan minuman keras adalah dilarang dan bahan kimia  yang digunakan untuk mengubah minuman keras itu tidak diketahui.

Kematian akibat alkohol yang dibancuh secara haram adalah perkara biasa di India, dan minuman keras terlarang adalah murah dan sering dicampur dengan bahan kimia seperti racun perosak untuk meningkatkan potensi.

Arak haram juga telah menjadi industri yang sangat menguntungkan di seluruh India ditambah pencuri tidak membayar cukai dan menjual sejumlah besar produk mereka kepada golongan miskin pada kadar yang murah.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 150 orang maut di bandar Ahmedabad di Gujarat pada 2009, dalam salah satu insiden  paling teruk di India.

Pada 2020, sekurang-kurangnya 120 orang maut selepas meminum minuman keras tercemar di negeri Punjab di utara India. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -