Politik penyelesaian vs politik kebencian

- Advertisement -

SAYA menerima sebaran video TikTok berkaitan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab terhadap Kerajaan Negeri Kelantan. Dari sekecil urusan teknikal pengurusan kerajaan sehinggakan menyentuh dan memperlekah pimpinan. Menyebar politik kebencian.

Isu penyelesaian air misalnya sedang dalam tindakan setelah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana negeri lain. Adalah tidak adil menuding kesalahan tanpa menyebut hujung jatuh sebenar dalam soal penyelesaian air.

Mengambil sentimen menyalahkan gurauan Timbalan Menteri Besar suatu ketika dahulu dan pada masa itu juga dilihat sebagai menyebarkan kebencian atas batang tubuh TMB dan bersifat prejudis serta bermaksud menjatuhkan.

Dalam kes pentadbiran kontrak melibatkan bayaran royalti emas antara pihak mewakili kerajaan dan pelabur sebagaimana didakwa sebagai ‘penemuan audit’, saya beranggapan ianya perlu diperincikan dengan dokumen. Bukan semudah ABC bercakap dan menyatakan kelemahan, apa lagi melibatkan ketelusan integriti mahupun apa yang dicanangkan sebagai tidak tahu mengurus. Tidak semudah itu menghukum kepandaian apa lagi melibatkan SOP dan kontrak kerajaan.

Lagi pula tindakan sewajarnya telah diambil sebagai langkah penyelesaian sedang pihak-pihak berkepentingan galak meletakkan kesalahan atas pundak kerajaan hari ini semata-mata dengan menangguk di air yang keruh.

Justeru, Dewan Pemuda PAS mengajak anak muda Kelantan untuk menolak politik kebencian. Politik ‘old version’ ini tidak lagi relevan kerana tidak mampu membina negeri dan negara. Politik ini juga digelar sebagai politik caci maki yang tidak menguntungkan rakyat.

Sayugia tawaran yang masih ada adalah politik penyelesaian. Urusan pentadbiran adalah soal pengurusan melibatkan SOP dan pekerja demi kepentingan rakyat. Setiap kelemahan perlu diambil tindakan penyelesaian dan apa jua kesalahan perlu diambil tindakan tanpa kompromi.

Saya percaya anak muda hari ini sepenuhnya menolak politik kebencian dan perlukan tawaran penyelesaian. Sama-sama kita bangunkan negeri ini dengan slogan Merakyat Membangun Bersama Islam.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
26 Zulhijah 1443 / 26 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -