Perubahan iklim: Tangan siapa yang kotor?

- Advertisement -

TENTU ramai dari kita yang pernah mendengar istilah ‘Jejak Karbon’ atau ‘Carbon Footprint’ tetapi sebenarnya apakah ‘Jejak Karbon’ itu? ‘Jejak Karbon’ adalah jumlah keseluruhan pelepasan gas-gas rumah hijau (greenhouse gases) yang dilepaskan akibat aktiviti-aktiviti manusia dan dinyatakan sebagai ‘Carbon Dioxide Equivalent’ (CO2e). Ia sudah tentu berkait dengan ‘Perubahan Iklim’ atau ‘Climate Change’ yang melanda dunia. Gas-gas rumah hijau ini memerangkap haba matahari dari terlepas ke angkasa lepas yang mengakibatkan pemanasan bumi dan seterusnya perubahan iklim. Gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, nitrus dioksid dan metana dilepaskan akibat aktiviti-aktiviti manusia. Penyelesaiannya adalah dengan mengurangkan pelepasan.

‘Jejak Karbon’ membolehkan kita menganggarkan nilai karbon yang dilepaskan contohnya oleh organisasi, aktiviti, penghasilan produk, penggunaan produk, pelupusan produk, acara atau individu. Ada yang mendakwa istilah ini sengaja diwujudkan untuk membuat orang awam seperti kita rasa bersalah. Seolah-olah kita yang bertanggunjawab ke atas pelepasan karbon dan seterusnya perubahan iklim. Tapi pada hakikatnya ‘penjenayah’ paling besar adalah syarikat-syarikat besar. Malah istilah ‘Jejak Karbon’ ini dipopularkan oleh sebuah syarikat bahan api fosil besar dunia. Mereka telah menggunakan sebuah syarikat perhubungan awam profesional untuk  meyakinkan masyarakat bahawa perubahan iklim ini bukan salah syarikat-syarikat minyak gergasi tetapi individu seperti anda. 

Justeru itu tidak hairan ada yang mendakwa istilah ini sengaja diwujudkan untuk mengelakkan syarikat-syarikat besar dari dituduh menyebabkan perubahan iklim. Akhbar Guardian UK pada 21 Ogos 2021, telah menyiarkan artikel, ‘Big Oil Coined ‘Carbon Footprints’ To Blame Us For Their Greed’, yang kritikal terhadap syarikat-syarikat minyak. Mereka mendakwa pengaruh syarikat-syarikat minyak ini yang membuat ‘Jejak Karbon’ ini popular.

Orang awam selalu dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang boleh mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau. Walau bagaimanapun adakah amalan-amalan ini akan menyumbang secara drastik kepada pengurangan kepada pelepasan? Adakah perubahan di tangan orang awam atau di tangan kerajaan dan syarikat-syarikat besar dunia?

Contohnya kita dinasihatkan agar menjimatkan penggunaan elektrik. Kita digesa agar mematikan peralatan-peralatan elektrik yang tidak digunakan. Kita dinasihatkan agar menggunakan penghawa dingin dengan bijak. Tetapi adakah tindakan-tindakan tersebut akan mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau dengan drastik?

Ketika kita cuba mengubah cara hidup, ramai yang tidak sedar 70 peratus dari tenaga elektrik di Malaysia dijana melalui membakar arang batu (coal). Arang batu yang merupakan bahan api fosil dan sudah tentu membakarnya melepaskan gas-gas rumah hijau. Tetapi tangan kerajaan hari ini juga terikat kerana mereka perlu mematuhi kontrak-kontrak yang ditandatangani oleh kerajaan sebelum mereka.

Arang batu bukan sahaja bahan api fosil tetapi juga bahan yang perlu diimport dan kita terdedah kepada manipulasi harga oleh negara asing serta perkembangan politik di negara tersebut. Sekiranya negara pengeluar menaikkan harga maka tidak ada apa-apa yang kerajaan boleh lakukan. Jika mereka memberhentikan eksport maka 70 peratus dari bekalan elektrik kita akan terjejas.

Kita juga boleh menggesa rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan penggunaan kereta atau motorsikal yang membakar bahan api fosil di mana akibatnya adalah pelepasan gas-gas rumah hijau. Mungkin ada yang menyalahkan rakyat kerana enggan berkongsi kenderaan yang boleh mengurangkan kenderaan di atas jalan yang sudah tentu akan mengurangkan pelepasan. Tetapi adakah saranan dan tuduhan ini wajar kerana pada hakikatnya rakyat tidak ada pilihan lain?

Sistem pengangkutan awam kita belum cukup lengkap dan menyeluruh. Mereka yang menggunakannya terpaksa mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi mereka. Selain dari itu masalah kesesakan juga memaksa rakyat untuk menggunakan kenderaan sendiri. Berkongsi kenderaan mungkin sesuai untuk orang bujang tetapi bukan untuk mereka yang bekeluarga dan terpaksa menghantar isteri dan anak-anak ke tempat kerja atau sekolah.

Walau bagaimanapun ini bukan bermakna ‘Jejak Karbon’ ini tidak berguna dan tidak boleh dimanfaatkan. Hari ini kita dapat mengenalpasti nilai karbon yang dilepaskan akibat aktiviti dan gaya hidup kita. Ini penting jika kita prihatin terhadap alam sekitar dan mahu mengubah cara hidup kita. Sekurang-kurangnya kita dapat memainkan peranan kita walaupun kita tidak tahu sama ada sumbangan kita akan mewujudkan perbezaan. Sebenarnya hanya 100 syarikat dunia yang bertanggungjawab ke atas 71 peratus dari pelepasan di dunia. Justeru satu perubahan menyeluruh yang drastik adalah diperlukan.

Selain dari membantu kita mengubah gaya hidup, ‘Jejak Karbon’ ini boleh membantu untuk memberi tekanan kepada syarikat-syarikat yang paling bertanggungjawab melakukan pelepasan yang tinggi. Ini dapat dilakukan melalui perundangan. Walau bagaimanapun jejak mereka ini mesti diumumkan kepada masyarakat. Selain dari itu ia juga dapat membantu pengguna membuat keputusan untuk memilih produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang mesra alam sekitar serta memboikot mereka tidak prihatin.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -