Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, menempelak Ahli Parlimen Bintulu yang mendakwa jawapan yang beliau berikan sebagai kongkalikung (tidak jujur atau berterang-terang).
Ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini, Dato Seri Tiong King Sing, mendakwa jawapan Dr Nik Muhammad Zawawi mengulangi jawapan yang diberikan sebelum ini.
“Yang Berhormat Timbalan Menteri, ini jawapan ada menyebut ulang balik…ulang balik, sudah berapa kali ya, sama juga tetapi food security (sekuriti makanan) kita tidak nampak dinaik taraf atau ada satu terjamin untuk negara kita.
“Saya minta jawab, jangan jawab kongkalikung, ulang- ulang balik” katanya.
Dr Nik Muhammad Zawawi memulangkan paku buah keras dengan berkata: “Terima kasih Yang Berhormat Bintulu yang sebut jawapan kongkalikung tapi soalan pun kongkalikung. Soalan yang sama saja tanya, sekuriti makanan cukup tak cukup, sudah berapa lama.”
Jawapan itu menggamatkan Dewan Rakyat dan terdengar suara Ahli Parlimen lain berteriak “Dengar Bintulu baik-baik.”
Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Bintulu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam dan telur ayam, kerajaan melaksanakan perancangan jangka pendek dan panjang.
Dari segi jangka pendek, katanya kerajaan memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan penelur yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion.
“Kerajaan juga memansuhkan kebenaran mengimport terhadap ayam bulat dan keratannya sejak 18 Mei lalu tertakluk kepada syarat yang ditetapkan serta mewujudkan stok penimbal ayam untuk tempoh tujuh hari dengan kapasiti 4,536 tan metrik yang dilaksanakan secara berperingkat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya.
Beliau berkata dari segi jangka panjang, kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada sumber jagung import sebanyak 30 peratus menerusi inisiatif pembangunan industri jagung bijian dalam negara dan menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan mentah gantian dari sumber tempatan berasaskan isirung sawit seperti palm kernel cake. – HARAKAHDAILY 26/7/22
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!