Kerjasama Umno, Bersatu bantu PAS tadbir Kedah

Ustaz Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: PAS Kedah tetap komited dengan gagasan perpaduan ummah bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) tanpa mengabaikan kedudukan masyarakat majmuk.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, ada pihak silap faham kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenainya kemampuan PAS Kedah mentadbir negeri secara sendirian.  

- Advertisement -

Katanya, kenyataan itu bukan bermaksud PAS tidak lagi memerlukan rakan-rakan muafakat lain.

“Kenyataan Tok Guru sebenarnya mahu merujuk kepada prestasi cemerlang yang ditunjukkan PAS Kedah.

“Jadi beliau melahirkan keyakinannya kepada keupayaan PAS Kedah untuk mencapai kemenangan dengan lebih baik,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada 23 Julai lalu ketika berucap di Kompleks PAS Kedah, Tuan Guru Abdul Hadi menyebut PAS Kedah mampu mentadbirkan kerajaan negeri secara bersendirian serta mendominasi bersama rakan-rakan lain.

Bagaimanapun ucapan itu dianggap Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Seri Jamil Khir sebagai menjawab teka-teki sebelum ini berkenaan pendirian PAS berkaitan MN dan PN.

Ahmad berkata, PAS sentiasa berusaha mengukuhkan perpaduan antara parti-parti politik Melayu dan Islam atas nama perpaduan ummah bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

“Kerajaan Kedah sekarang berada dalam keadaan stabil dan terbukti berjaya memacu kejayaan untuk kesejahteraan rakyat. Itu juga kerajaan yang diharapkan rakyat selepas PRU ke-15,” ujar beliau.

Menurutnya juga, semangat serta kerjasama yang ditunjukkan Umno dan Bersatu mentadbir kerajaan negeri bersama PAS menjadikan Kedah terus stabil. 

Bagaimanapun kata beliau,PAS Kedah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ada rakan muafakat yang hendak bertanding secara solo. – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -