KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) ingin merujuk kepada artikel oleh Encik Hariz Mohd yang disiarkan dalam Malaysiakini pada 24 Julai 2022 bertajuk “Tasik Chini Tak Lagi Penuhi Kriteria Rizab Biosfera Unesco”.
Tapak Rizab Biosfera adalah tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara bagi mempromosikan pembangunan mampan dan diiktiraf di bawah program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO.
Penyertaan Malaysia dalam program MAB bermula pada 26 Mei 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini, Pahang sebagai Tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia diikuti dengan Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.
Kerajaan Negeri Pahang telah menyediakan laporan periodic review sebagaimana obligasi yang telah ditetapkan oleh pihak UNESCO.
KeTSA sebagai national focal point bagi program MAB telah mengemukakan laporan periodic review Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini kepada Sekretariat MAB pada tahun 2021.
International Advisory Committee for Biosphere Reserves (IACBR) telah menilai laporan dan telah memberi tempoh sehingga 30 September 2022 untuk membuat penambahbaikan ke atas laporan tersebut.
Susulan itu, Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini selaras dengan cadangan IACBR termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan tiga fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpanan Kekal Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong serta menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang bagi mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.
KeTSA sentiasa menyokong komitmen dan usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.
Bagi tujuan ini, KeTSA telah menyediakan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta sejak tahun 2016 bagi melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air.
Selain itu, KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar TCBR pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM800,000.
KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kemampanan TCRB selaras dengan objektif program MAB dan komited untuk menyokong usaha mempertahankan statusnya sebagai Tapak Rizab Biosfera.
DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli
26 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 26/7/2022