Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan subsidi dan bantuan sosial dijangka menghampiri RM80 bilion tahun ini yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata kerajaan meneruskan pemberian subsidi sedia ada, terutama subsidi kepenggunaan yang meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung, elektrik, ayam dan telur serta pelbagai bantuan sosial seperti bantuan kebajikan masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia.
Katanya, kerajaan turut melaksanakan langkah bagi membendung peningkatan kos sara hidup isi rumah seperti penetapan harga siling bagi produk barangan makanan tertentu serta meneruskan usaha meningkatkan pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian tempatan.
“Kerajaan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal,” katanya menjawab soalan lisan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PH-Raub) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Shahar berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion sejak 2020 serta langkah Belanjawan 2021 dan Belanjawan 2022 yang bertujuan mengurangkan kesan pandemik ke atas isi rumah dan perniagaan.
Katanya, ini bertujuan membantu proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan.
“Momentum pemulihan ekonomi pada tahun ini ke arah mencapai tahap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pra-pandemik diunjur bertambah baik dengan pembukaan semula sektor ekonomi sepenuhnya dan sempadan antarabangsa.
“Ini dapat dilihat melalui pertumbuhan KDNK negara pada suku pertama tahun ini yang kukuh pada kadar lima peratus,” katanya.
Selain itu, katanya petunjuk ekonomi utama terkini mencerminkan prestasi ekonomi dan momentum pertumbuhan yang berterusan.
Menurutnya, ini termasuk pasaran buruh terus bertambah baik, dengan kadar pengangguran mencatat 3.9 peratus pada Mei lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020, manakala Indeks Sentimen Pengguna MIER meningkat kepada 108.9 mata pada suku pertama tahun ini, berbanding 97.2 mata pada suku keempat tahun lalu.
Pelaburan langsung asing (FDI) pula, katanya mencatat peningkatan bagi suku pertama tahun ini kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.5 bilion bagi suku keempat tahun lalu. – HARAKAHDAILY 26/7/22