BILA ‘mengai’ (memancing) ni kadang-kadang cuaca baik, ada masa cuaca tak berapa nak elok. Macam tu juga dalam soal kehidupan, kadang-kadang Allah bagi nikmat kesenangan, ada masa Allah bagi ujian kesusahan.
Hasil ‘mengai’ ni pun tak menentu. Kadang-kadang dapat banyak ikan, ada hari dapat hasil sikit. Sama macam hidup kita, ada waktu Allah bagi rezeki banyak, ada masa tak dapat apa.
Bila ‘mengai’ di laut, kita boleh lihat betapa besarnya kuasa Allah S.W.T. Bagaimana kekuasaan Allah membelah sempadan di antara air tawar dengan air masin.
Tapi yakinlah, setiap rintangan dalam kehidupan itu adalah tanda Allah sayang kepada hamba-hamba-Nya. Setiap ujian itu disusuli dengan ujian tahap keimanan kita.
Yakinlah bahawa setiap apa yang hilang pasti Allah akan gantikan dengan rezeki yang lain. Maka, erti sebenar kehidupan ialah bersabar dan bersyukur dengan apa yang dimiliki.
Kehidupan ini seperti laut yang terbentang luas. Kita tidak ketahui apa di dasar laut itu. Begitu juga dalam sudut kehidupan. Kita tak tahu dekat mana ada rezeki kita, cuma yang kita tahu adalah usaha serta tawakal kepada pencipta.
Tapi percayalah selagi mana kita yakin dengan kuasa Allah, nescaya Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal dengan usaha serta tawakal kita kepadaNya.
Seperti mana firman Allah:
وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللّٰهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُهٗ وَالْمُؤْمِنُوْنَۗ وَسَتُرَدُّوْنَ اِلٰى عٰلِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَۚ
“Dan katakanlah, “Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang gaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.””
(at-Taubah: 105)
Alhamdulillah, hari ni dapat pi ke laut dengan Pak Njang Mat Isa. Nak dijadikan cerita banyak juga hasil tangkapan kami dekat tuas sana, syukur sangat-sangat.
Seronok sebenarnya pi ke laut ni, oqang Kola Kedah kalau tak pi ke laut memang tak sahlah.
DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 26/7/2022