Pekerja ekonomi gig perlu perlindungan insurans

Che Alias Hamid
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kemaman menyuarakan kebimbangan dengan nasib pekerja ekonomi gig yang tidak mempunyai perlindungan insurans.

Che Alias Hamid berkata, platform ekonomi gig kini menjadi segmen pekerjaan yang semakin meningkat dan menjadi pilihan, terutama dalam kalangan generasi muda di kawasan bandar.

- Advertisement -

Selain itu, katanya kebanyakan mereka yang hilang pekerjaan berikutan pandemik Covid-19 menceburi platform ekonomi gig yang dianggap lebih fleksibel dan mudah.

Menurutnya, antara sektor yang mewakili ekonomi gig ialah e-Hailing, penghantaran makanan dan barangan seperti Grab dan Food Panda serta perniagaan dalam talian.

“Malah rakyat juga banyak bergantung kepada ekonomi gig dalam pembelian barangan dan makanan. Oleh itu, masalah timbul apabila kebanyakan pekerja dalam sektor ini tidak mempunyai perlindungan diri, termasuk mencarum dalam PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, terdapat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan ini dan seterusnya meningkatkan risiko kemalangan kepada mereka yang terlibat dalam sektor ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Alias menyambut baik usaha untuk menambah baik sistem keselamatan sosial dari semasa ke semasa yang memberi manfaat kepada golongan pekerja yang hilang pekerjaan.

Katanya, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah antara inisiatif kerajaan dan merupakan satu dana keselamatan sosial yang menyediakan bantuan kewangan dan perkhidmatan carian pekerjaan untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan.

Pada Jun 2020, katanya kerajaan mewujudkan bantuan dana padanan bagi ekonomi gig atau Penjana Gig melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bagi menjamin keselamatan sosial kebajikan golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS).

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberitahu jumlah pekerja ekonomi gig yang mencarum dengan PERKESO dan apakah mekanisme yang digunakan oleh kerajaan dan pemain utama industri gig bagi meningkatkan kesedaran pekerja ekonomi gig untuk mencarum dengan PERKESO.

“Saya juga ingin tahu inisiatif yang dilaksanakan bagi memperluaskan sistem perlindungan insurans kepada pekerja ekonomi gig,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/22

- Advertisement -