PAS, Umno, BERSATU Sungai Besar serlah kesatuan

- Advertisement -

SUNGAI BESAR: Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sungai Besar Kali Ke-19 telah berlangsung dengan penuh semangat penyatuan ummah pada majlis di Pusat Tarbiyyah Darussalam, Simpang Lima, di sini semalam.

Majlis perasmian mesyuarat ini telah disempurnakan oleh Setiausaha PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir dengan turut dihadiri sama pimpinan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Sejarah tercipta pada majlis ini yang menyaksikan kehadiran Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Dato’ Seri Jamal Md Yunos dan Pemangku Pengerusi BERSATU Sungai Besar, Mohd Ashraf Basri.

Yang Dipertua PAS Sungai Besar, Ustaz Mohd Fadzin Taslimin dalam ucapannya berasa sebak dan menitiskan air mata menyaksikan peristiwa bersejarah itu berlaku setelah hampir 40 tahun menerajui jawatan itu. 

Beliau dalam ucapannya itu menyeru agar perpaduan ummah yang telah terjalin sesama parti Melayu-Islam itu terus dapat dipertahankan demi kepentingan agama dan bangsa serta generasi masa depan.

Roslan Shahir juga dalam ucapannya senada berharap perpaduan ummah ini dapat terus direalisasikan demi kesejahteraan umat dan seterusnya dalam menghadapi PRU15 nanti berhadapan Pakatan Harapan secara bersepadu.

Mesyuarat agung kali ini melibatkan 32 PAS Cawangan dan 142 orang perwakilan di mana antara perkara diberi perbahasan adalah melibatkan semakan yuran keahlian PAS, namun tiada sebarang usul yang diluluskan.

Ustaz Mohd Fadzin dalam ucapan penangguhannya berharap semua ahli PAS terus istiqomah membantu perjuangan ini memartabatkan Islam tanpa memiliki sikap keakuan atau mementingkan diri sesama ahli.

“Kita jangan bersikap, akulah yang banyak memberi sumbangan kepada PAS. Sebaliknya partilah yang menyebabkan kita di kenali ramai,” nasihat beliau.

Turut hadir sama semasa majlis perasmian adalah Ahli-ahli Jawatankuasa Umno dan BERSATU Sungai Besar. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -