Gelombang haba dan perubahan iklim

EROPAH sedang dilanda oleh gelombang haba (heatwave) yang melihat kebakaran besar hutan di Perancis, Sepanyol dan Portugal. Suhu telah meningkat melebihi 40 darjah Celsius dengan suhu di Utara Portugal mencecah 47 darjah Celsius. Itali, Greece dan Croatia turut melaporkan kebakaran hutan. Gelombang ini sedang bergerak ke Utara dan Timur. UK telah pertama kali mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius dengan suhu 40.2 darjah Celsius direkodkan di Lapangan Terbang Heathrow. 

Sebelum ini rekod untuk UK adalah 38.7 darjah Celsius pada tahun 2019. Suhu yang tinggi telah mengakibatkan kebakaran dan memberi tekanan kepada perkhidmatan bomba di bandaraya seperti London. Di Jerman suhu juga dijangka melepasi 40 darjah Celsius dan rekod 41.2 darjah Celsius dalam tahun 2019 dijangka dipecahkan. Dianggarkan lebih 1,500 orang telah terkorban akibat gelombang haba ini dengan Portugal merekodkan lebih 500 kematian.

Dalam tahun 2020, Met Office (Pejabat Meteorologi) di UK meramalkan suhu yang dialami ketika gelombang haba sekarang hanya akan berlaku dalam tahun 2050. Justeru itu perkembangan ini amat membimbangkan bukan sahaja untuk penduduk UK atau di Eropah tetapi untuk seluruh dunia. Cuaca panas yang melampau ini dijangka akan berlaku dengan lebih kerap. Kepada pakar-pakar meteorologi, catatan suhu 2 hingga 3 darjah Celsius lebih tinggi dari rekod sebelum ini adalah mengejutkan kerana sebelum ini peningkatan hanya kurang dari 1 darjah Celsius. Cuaca panas ini adalah dijangka akan menjadi lebih kerap dan lebih melampau (extreme).

Kenapa cuaca panas dan gelombang haba ini berlaku? Pemanasan global (global warming) merupakan di antara sebabnya kerana suhu hari ini adalah secara purata 1.1 darjah Celsius lebih tinggi dari akhir abad ke-19. Dekad 2011 hingga 2020 adalah dekad terpanas dalam sejarah. Peningkatan suhu adalah 0.2 darjah Celsius untuk setiap 10 tahun. Dengan suhu yang telah meningkat sudah tentu sebarang peningkatan akan memecahkan rekod-rekod yang telah wujud sejak bertahun-tahun.

Aktiviti manusia telah mengakibatkan pelepasan gas-gas rumah hijau (greenhouse gases) yang menyelubungi bumi. Di antara gas-gas ini adalah karbon dioksida, nitrus oksida dan metana. Di antara aktiviti-aktiviti manusia yang menghasilkan gas-gas ini adalah membakar bahan api fosil (fossil fuel) di dalam industri dan pengangkutan. Gas-gas ini memerangkap haba matahari kerana ia bertindak sebagai perisai yang menghalang haba dari mengalir keluar ke angkasa lepas. Ini mengakibatkan perubahan iklim dan pemanasan global dan bumi akan menjadi lebih panas.

Tiada penyelesaian kepada masalah ini selain dari mengurangkan pelepasan gas-gas tersebut untuk menghadkan pemanasan global. Perjanjian Paris yang ditandatangani oleh 195 negara pada bulan Disember 2015 di antaranya bertujuan untuk menghadkan pemanasan global di bawah 2.0 darjah Celsius dan sebaik-baiknya pada 1.5 darjah Celsius. Untuk mencapai matlamat ini pelepasan gas-gas rumah hijau ini perlu dihadkan. Untuk menghadkan kenaikan suhu di bawah 1.5 darjah Celsius, pelepasan perlu dikurangkan 50 peratus pada 2030. Setiap negara yang menandatangani perjanjian ini akan menetapkan sumbangan mereka bagi mencapai matlamat ini (Nationally Determined Contributions atau NDCs).

Justeru gelombang haba yang berlaku di Eropah bukan sesuatu yang mengejutkan. Met Office UK menganggarkan kemungkinan berlaku gelombang hari ini adalah 10 kali ganda akibat perubahan iklim. Tempoh gelombang tersebut adalah juga 2 kali ganda sejak 50 tahun yang lampau. Pakistan dan India tahun ini telah mengalami 5 gelombang haba berturut-turut. Di hemisfera selatan pula, Argentina, Uruguay, Paraguay dan Brazil telah mengalami gelombang haba dan merekodkan suhu tertinggi dalam rekod. Sebuah bandar di Australia Barat telah merekodkan suhu tertinggi di hemisfera selatan, 50.7 darjah Celsius. Kesemua ini tidak akan berlaku tanpa perubahan iklim.

Dengan gelombang haba yang lebih melampau dan lebih panjang sudah tentu mengakibatkan kekurangan bekalan air dan berlakunya kemarau dengan lebih kerap. Ini sudah tentu memberi kesan kepada pertanian dan keupayaan untuk mengeluarkan makanan yang secukupnya untuk penduduk dunia.

Dalam kitaran cuaca biasa, cuaca panas menghasilkan lembapan dan wap air di udara yang akan bertukar menjadi titisan air untuk menghasilkan hujan. Apabila cuaca menjadi semakin panas, lebih banyak wap yang akan terhasil di atmosfera. Akibatnya lebih banyak titisan air terbentuk dan hujan yang lebih lebat akan berlaku. Apabila hujan ini berlaku dalam kawasan yang lebih kecil dan dalam masa yang lebih singkat, banjir akan berlaku. Tahun ini telah berlaku banjir besar di Sepanyol dan Australia. Di Brisbane 80 peratus dari hujan yang selalunya turun dalam tempoh satu tahun telah turun dalam tempoh 6 hari. Justeru itu perubahan iklim dan pemanasan global perlu diberikan perhatian yang serius.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 25/7/2022

Advertisement