Dari RM40 juta ditinggalkan, rizab Kedah kini RM600 juta

Prestasi kewangan pentadbiran Sanusi berbanding Mukhriz

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah kini mempunyai rizab simpanan negeri sebanyak RM600 juta, berbanding ditinggalkan kepada kerajaan negeri oleh pentadbiran Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar sebelum ini hanya RM40 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, sebaik menjadi kerajaan pada 17 Mei 2020, langkah mengadakan simpanan tetap telah dilakukan dengan matlamat untuk dibelanjakan ketika keadaan mendesak.

La ni (sekarang ini) tak kira sesak, jangan suruh belanja duit itu.  La ni tak sesak lagi. Kita ada simpanan tetap sebagai reserved negeri RM600 juta. Saya habaq (beritahu) ini bukan suruh minta duit itu. Janganlah minta. Betul-betul kena simpan untuk perbelanjaan pada masa depan.

“Kerana pada masa depan kita tak tahu lagi ekonomi ini nak jadi lagu (macam) mana. Kalau ekonomi merudum insya-Allah hutang-hutang pinjaman kita boleh served. Benda-benda kebajikan kita boleh pakai. Jangan suruh pakai la ini. La ini masa untuk menyimpan.

“Kita telah mencapai rekod untuk negeri ini dalam bab simpan. Rahsianya jangan merapu, belanja duit jangan merapu, simpan jangan merapu. Dulu-dulu dia merapu, program macam-macam belanja berjuta-juta. Main golf adalah hari-hari apa, depa anjur golf. Belanja RM500,000 main golf.

“Saya tak main golf, saya main ragbi. Bola ragbi murah saja. Satu bola ragbi boleh main 30 orang. Jadi mainlah permainan-permainan yang murah,” ujarnya pada majlis Amanat Khas Presiden PAS dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini kelmarin.

Mengimbas sejarah terdahulu, beritahunya simpanan rizab negeri paling tinggi adalah pada masa Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar iaitu sebanyak RM320 juta dari RM180 juta ditinggalkan kerajaan sebelumnya.

Berbanding Pulau Pinang sebanyak RM700 juta dan Selangor RM3 bilion ketika itu, namun di zaman Mukhriz rizab simpanan ditinggalkan cuma RM40 juta hingga menyukarkan pembayaran gaji kakitangan negeri sebanyak RM23 juta.

“Maka kerajaan pada masa itu berhutang dengan Putrajaya. La ni kita duk bayar setahun RM10 juta, hutang dengan Putrajaya untuk bayar bagi gaji pegawai,” maklum beliau dan turut memberitahu bahawa ADUN-ADUN PAS tidak ada yang kedekut.

Jelas beliau, dalam pengetahuannya tiada lagi aduan ADUN-ADUN PAS dikatakan kedekut, sebaliknya jika mereka tiada wang, keadaan tersebut memang sebenar-benarnya, bahkan menjadi saksi kesungguhan para wakil rakyat tersebut membantu penduduk.

Iltizam Sanusi, seboleh mungkin mereka semua buat yang terbaik di mana telah bertungkus-lumus melakukan pelbagai kerja untuk rakyat hingga terasa letih dilihat pada pandangan matanya.

“Tengok pun letih dah. Cikgu (Abdul) Nasir (Idris – ADUN Bayu), gajah pun dia pi tangkap. ADUN Bayu satu-satunya ADUN di Malaysia yang menjadi penangkap gajah. Tuan-tuan kalau ada gajah liar melintas  panggillah ADUN Bayu tangkap.

“Mejar (Mansor Zakaria – ADUN Kuala Ketil) suka buat infrastruktur. Baru ni dia jadi Pengarah masa banjir tuan-tuan. Saya tengok kesian kat dia. Letihkan? Semua orang letih.

“Saya harap kerja-kerja yang telah kita lakukan selama beberapa tahun sebagai wakil rakyat akan menjadi bekalan kita di akhirat dan menjadi tempat orang menilai parti kita, prestasi parti,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -