Bot nelayan Vietnam paling banyak ceroboh negara

Kapal peronda APMM menahan bot nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertindak tegas membanteras pencerobohan bot nelayan asing (BNA) yang menangkap ikan di kawasan perairan negara dengan menahan 1,600 buah BNA sejak tahun 2006.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin, berkata jumlah tertinggi BNA yang ditahan adalah dari Vietnam, iaitu sebanyak 1,057 buah bot atau 66 peratus dari jumlah keseluruhan tangkapan BNA yang direkodkan.

- Advertisement -

Katanya, APMM sentiasa komited memantau kawasan titik panas yang telah dikenal pasti dan akan terus menguatkuasakan undang-undang semasa jika negara terlibat masih meneruskan aktiviti mereka di kawasan perairan negara.

“Antara tindakan APMM bagi memastikan perairan negara bebas dari pencerobohan BNA termasuk meningkatkan rondaan harian melalui pengoperasian sebanyak 45 buah vesel laut dan juga aset udara,” katanya menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS- Bachok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Abduh meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan perancangan kementerian bagi mengatasi situasi pencerobohan nelayan asing yang sering berlaku di perairan negara sehingga mengancam keselamatan dan hasil laut negara.

Jonathan berkata, APMM juga mengoptimumkan penggunaan aset bersaiz besar dengan pengoperasian dua kapal kelas OPV (Offshore Patrol Vessel), iaitu KM Pekan dan KM Arau di perairan laut dalam hingga Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Katanya, kapal berkenaan mampu berlayar dalam tempoh yang lama, terutama di perairan Laut China Selatan dan memberikan kesan positif berdasarkan peningkatan jumlah tangkapan BNA yang pada tahun 2017 sebanyak 148 tangkapan, berbanding 108 tangkapan pada 2016.

“APMM juga mengenal pasti kawasan titik panas aktivit BNA dengan mengemas kini maklumat kawasan pencerobohan BNA yang kawasan modus operandi sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Selain itu, katanya pemantauan melalui Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) banyak membantu dalam membuat tangkapan di perairan negara.

Menurutnya, APMM bertekad untuk meningkatkan keupayaan radar SWASLA sedia ada di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Barat Sabah.

Sehubungan itu, katanya APMM dalam perancangan untuk menempatkan radar SWASLA di Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia kerana ini membolehkan aset laut dan udara dapat digerakkan bagi memintas objek curiga dengan lebih cepat dan tepat.

Sementara itu, katanya APMM melaksanakan Program Mesra Rakyat Maritim bersama persatuan nelayan serta komuniti bertemakan isu keselamatan dan pelanggaran undang-undang yang perlu dititikberatkan ketika berada di laut.

“Program ini juga untuk menggalakkan komuniti maritim sebagai mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat yang sahih untuk membantu APMM melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/22

- Advertisement -